BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

Saya Mohamad Taufik B Abdul Hadi ingin bertanya berkenaan dengan perihal Puasa di bulan Ramadhan. 

Pada 08 Mac 2024 - 17 Mac 2024 saya akan pergi ke China untuk urusan kerja, ini bermakna saya akan sambut awal puasa di negara China. 

Soalan saya seperti di bawah.

1) Bagaimana untuk saya mengetahui bahawa di sana (Yangzhou, China) sudah bermulanya 1 ramadhan ?

2) Apabila saya pulang semula ke Malaysia dan menyambung puasa di Malaysia, bagaimankah pengiraan hari berpuasa saya dan bolehkah saya menyambut hari Raya Aidulfitri bersama-sama keluarga di Malaysia jika 1 Ramadhan di China dan Malaysia berbeza ?

Nota : Saya ada terdengar bahawa kita perlu cukupkan 29 atau 30 hari berpuasa Ramadhan. Jika tidak cukup kita perlu berpuasa walau di Malaysia sudah 1 Syawal dan kita tidak boleh berpuasa jika sudah cukup 30 hari puasa Ramadhan.walau di Malaysia masih berpuasa.

Penjelasan dari pihak Mufti amatlah saya hargai.

Terima Kasih

 

Mohamad Taufik

Hulu Langat, Selangor


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1) Diwajibkan berpuasa apabila telah masuk bulan Ramadhan sama ada melalui penglihatan anak bulan atau mencukupkan bulan Sya'ban sebanyak 30 hari. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

Maksudnya: Berpuasalah jika kamu melihatnya (anak bulan), dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya (anak bulan). Sekiranya ia terlindung daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakan jumlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh hari (Riwayat al-Bukhari)

Pada masa kini, penetapan permulaan berpuasa adalah berdasarkan ketetapan pemerintah di sesebuah negara. Justeru, boleh jadi hari berpuasa dan berhari raya mungkin berbeza antara setiap negara. Oleh itu, tuan dinasihatkan agar merujuk kepada komuniti Islam di sana bagi mengetahui tarikh bermula puasa Ramadhan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Kuraib RA:

رَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ، فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ؟ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ، وَرَآهُ النَّاسُ، وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ، فَقَالَ: " لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ، أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Aku melihat anak bulan di Syam pada malam Jumaat, kemudian aku pulang ke Madinah, lalu ibn ‘Abbas bertanya kepadaku: ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab: ‘Kami melihat pada malam Jumaat’, ibn ‘Abbas bertanya lagi: ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’, Aku menjawab: ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka juga berpuasa, Mu’awiyah turut berpuasa.’ Ibn ‘Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa sehingga kami sempurnakan 30 hari Ramadhan’, Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan anak bulan yang dilihat oleh Mu’awiyah dan puasanya?’ Ibn ‘Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami berbuat demikian. (Riwayat Muslim)

2) Setelah tuan pulang ke Malaysia, maka tuan hendaklah berpuasa dan berbuka mengikut masyarakat setempat di Malaysia.

Sekiranya jumlah hari berpuasa telah mencukupi sekurang-kurang hari berpuasa iaitu 29 hari maka puasa tuan telah cukup. Jika jumlah hari berpuasa adalah sebanyak 28 hari, tuan hendaklah qada' sehari selepas hari Raya Aidilfitiri bagi mencukupkan jumlah 29 hari. Namun, jika jumlah hari berpuasa melebihi 30 hari, tuan hendaklah turut berpuasa mengikut penduduk negara di mana tuan berada walaupun ia menyebabkan jumlah sebanyak 31 hari.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 55

message user image