BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Jika air mazi terkena atas tilam, taktahu dimana tempat yg kena. Cukup kah dengan sekadar tukar cadar tilam , cadar bantal dan selimut? Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Untuk pengetahuan tuan, air mazi adalah sejenis cecair jernih kekuningan yang keluar daripada kemaluan lelaki dan wanita disebabkan rangsangan ketika permulaan syahwat dengan keadaan sedar ataupun tidak. Air mazi yang terhasil daripada zakar mujami’ atau kemaluan wanita ketika suami isteri yang sedang bersenggama dan terkena pada selimut atau katil ia adalah najis yang dimaafkan. Tidak wajib untuk membasuh tempat yang terkena najis yang dimaafkan tersebut. Walau bagaimanapun, ia berbeza pada keadaan seseorang itu melakukan onani atau berzina, lembapan yang terhasil (air mazi) ketika proses atau selesai, lalu terkena pada selimut dan katil misalnya, ia adalah najis dan wajib untuk dibersihkan kerana tiada rukhsah (keringanan) dalam perkara maksiat.

Merujuk kepada persoalan tuan:

1) Jika keluar air mazi sewaktu suami isteri sedang bersama adalah dimaafkan kerana sukar untuk dielak seandainya sedikit. Oleh itu, tidak diwajibkan untuk membasuh cadar setiap kali setelah bersama suami isteri. Namun begitu, adalah disarankan supaya dibersihkan cadar tersebut dengan membasuhnya bagi menjamin kebersihan. Adapun begitu, ia berbeza pada keadaan seseorang itu melakukan onani atau berzina, lembapan yang terhasil (air mazi) ketika proses atau selesai, lalu terkena pada selimut dan katil misalnya, ia adalah najis dan wajib untuk dibersihkan kerana tiada rukhsah dalam perkara maksiat.

2) Jika air mazi yang terkena pada selimut dan katil itu daripada jenis tidak dimaafkan dan ia telah kering, maka hukumnya adalah sama seperti najis kering. Iaitu ianya perlu dibersihkan terlebih dahulu najis tersebut. Setelah itu, dialirkan air ke tempat yang diyakini terkena najis sahaja dan dikeringkan dengan menggunakan kain bersih yang lain. Kadar jumlah penggunaan air mutlak bagi mengalirkan air pada tempat yang diyakini terkena najis adalah sekira-kira setapak tangan sepertimana hadis Nabi SAW:

عَنْ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ، قَالَ كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ ‏"‏ إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ‏"‏ ‏.‏ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ ‏"‏ يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ

Maksudnya: Diriwayatkan daripada Sahl bin Hanif, ia berkata: "Saya  merasa letih dan payah kerana sering mandi disebabkan keluarnya Mazi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah  SAW, kemudian Baginda bersabda: “Cukuplah engkau dengan berwudhu”. Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan Mazi yang terkena pada pakaian saya? Baginda menjawab: “Cukuplah engkau mengambil air setapak tangan, lalu engkau siramkan pada  pakaian yang terkena itu". (Riwayat al-Tirmizi)

Ya, memadai dengan menukarkan cadar tilam, cadar bantal dan selimut yang baru. Namun, cadar tilam, cadar bantal dan selimut yang lama hendaklah dibasuh dan disucikan. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 66

message user image