BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya terkena penyakit was was sejak Nov 2023. Seingat saya terkena was was lepas melihat video tentang mop najis cicak. Sejak daritu saya terkena penyakit was was yang sgt teruk. 
 

1. Saya terasa dinding rumah sy bernajis kerana mungkin semasa sy bawak turun baldi baju kotor dari tingkat atas, baldi dan baju kotor tersebut terkena pada dinding kawasan tangga. Sejak daritu sy sgt berhati2 berjalan di tangga rumah kerana risaukan badan sy terkena dinding. Sy merasa najis telah merebak di dinding2 sy. Sy xtahu cara membersihkan macamana. Jika sy mengelap tapi air tidak mengalir. Sy mahu spray di dinding menggunakan air mutlak tapi saya risaukan dia menitis di tingkat bawah menyebabkan lantai tingkat bawah pulak bernajis. Apa patut sy buat ustaz? Perlukah sy abaikab saja dinding tu dan menganggapnya tidak najis? Bantu sy ustaz.

 

2. Pemegang tangga ada najis cicak. Tanpa pengetahuan sy suami sy telah bersihkan selurug pemegang tangga dengan tisu basah antibakteria. Menyebabkan najis telah merebak 1 pemegang tangga dr atas kebawah. Bagaimana cara mensucikan pemegang tangga ini ustaz? Boleh kah sy mengelap dgn tisu basah air mutlak shaja? Atau sy perlu spray sahaja di pemegang tangga tersebut? Sy mahu spray sahaja guna air mutlak tapi sy risaukan air spray itu nanti menitik di lantai tingkat bawah menyebabkan saya perlu membersihkan lantai bahagian bawah pula. Sebab bawah tangga tu ada banyak barang2 niaga sy. Bila spray pasti akan terkena barang niaga sy. Maka sukar pulak untuk sy sucikan barang2 itu jika terkena air spray yg menitis dari dinding tersebut.
 

3. Di tepi katil sy setiap hari pasti ada najis lipas yang kering. Bagaimana cara yg betul utk mensucikannya? Adakah memadai jika sy buang begitu saja kerana najis itu kering dan lantai pun kering. Boleh kah sy mengemop lantai selepas buang najis lipas yg kering tersebut?

 

4. Jika saya ragu ragu tentang adanya najis di sesuatu tempat. Adakah menjadi najis tempat tersebut? Atau sy perlu mengabaikannya sahaja?

 

5. Jika saya terlupa sesuatu tempat itu ada najis atau tidak bagaiman cara untuk selesaikannya ustaz? Sy tak ingat ada najis ke tidak. Perlukah sy membersihkan seluruh tempat atau sy perlu mengabaikannya sahaja? 

 

Bantu sy ustaz. Sy sngat tertekan. Penyakit was was buatkan saya tak boleh nak bezakan perkara yang betul betul berlaku atau hanya imaginasi saya atau halusinasi sy. Sy sangat down dan sedih kenapa sy jadj begini. Hari hari sy menangis sebab penyakit was was ni. Seperti orang tak betul sehingga sy menganggap seluruh rumah sy jadi najis. Dan berasa tak selamat ketika berada dirumah. Sy sudah panggil ustaz untuk ruqyah kan saya. Tapi sgt sukar utk mengelakkan fikiran najis di merebak di rumah dan di dinding dan di pemegang tangga tersebut buatkan sy sentiasa hidup dalam keresahan kegelisahan dan ketakutan. Bantu sy ustaz apa patut sy buat? Sy sgt rindukan diri sy yg dulu yg tidak was was. Bantu sy ustaz :'(

Maafkan sy ustaz kerana menganggu. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. 

Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu dibersihkan atau disucikan. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak boleh menjadikan sesuatu itu menjadi bernajis. 

Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan;

1. Baju yang kotor tidak semestinya bernajis. Oleh itu, baju yang terkena dinding tidak menjadikan baju tersebut bernajis.

2. Sendainya pasti terdapat najis cicak dan bukan andaian atau was-was, jika semata-mata menggunakan tisu basah bagi menghilangkan najis tersebut, maka tisu basah tersebut telah menjadi mutannajis. Jika digunakan tisu basah tersebut ke kawasan yang lain, maka kawasan tersebut turut bernajis disebabkan oleh tisu basah tersebut dan perlu disucikan dengan dialirkan air mutlak padanya. Boleh menggunakan spray air mutlak ke atas pemegang tangga tersebut bagi meminimumkan aliran air ke atas pemegang tangga tersebut.

3. Najis lipas perlu dihilangkan terlebih dahulu seterusnya dialirkan air mutlak ke tempat yang terkena najis sekadarnya sehingga hilang bau, rasa atau warnanya. Hanya dengan menggunakan mop tidak menjadikan tempat yang terkena najis itu suci daripada najis.

4.  Tidak bernajis, kerana hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.

5. Hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Jika ianya sekadar andaian sahaja maka kembali kepada hukum asal iaitu bersih dan suci tempat tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 337

message user image