BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya apakah hukum lelaki pakai satu sahaja inai( yang telus air) di hujung jari hanya untuk dijadikan perhiasan. Satu lagi, adakah sah solat berjemaah jika imam pelat. Contohnya dalam menyebut huruf R, ini kerana terdapat beberapa bacaan di dalam solat menggunakan huruf R. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bagi soalan yang pertama, kami cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada jari mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita. Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai sama ada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya. Adapun pemakaian inai bagi lelaki untuk tujuan perubatan, maka hal yang demikian itu tiada masalah. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ Syarh Muhazzab, katanya:

أَمَّا خِضَابُ الْيَدَيْنِ وَالرِّجْلَيْنِ بِالْحِنَّاءِ فَمُسْتَحَبٌّ لِلْمُتَزَوِّجَةِ مِنْ النِّسَاءِ: لِلْأَحَادِيثِ الْمَشْهُورَةِ فِيهِ وَهُوَ حَرَامٌ عَلَى الرِّجَالِ إلَّا لِحَاجَةِ التَّدَاوِي

Maksudnya: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadis-hadis masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat. 

Manakala bagi soalan hukum berimamkan imam yang pelat pula, kesalahan dalam membaca ayat al-quran terbahagi kepada dua iaitu kesalahan kecil (lahn khafi) dan kesalahan besar (lahn jali).

Kesalahan kecil adalah kesalahan yang tidak mengubah maksud ayat yang dibaca seperti kekurangan pada makhraj huruf, harakat dan kadar dengung. Kesalahan kecil ini dimaafkan dan sah solat bagi imam atau makmum yang membaca dengan kesalahan kecil. Menyebut huruf R atau Ro dalam keadaan pelat termasuk dalam kesalahan kecil sekiranya tidak merubah maksud. Oleh itu berimam dengannya adalah sah. Namun, disarankan untuk memilih imam yang fasih bacaan.

Walau bagaimanapun seandainya kesalahan itu membawa kepada perubahan maksud ayat seperti mengubah baris dan huruf yang dibaca, maka ia adalah kesalahan besar. Kesalahan ini tidak dimaafkan di dalam solat dan akan membatalkan solat jika kesalahan berlaku ketika membaca surah al-Fatihah kerana ia merupakan rukun solat. 

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 104

message user image