Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: 1. Hukum jual beli guna vending machine seperti jual air tin? 2. Hukum sewa bilik atau ruang untuk berniaga yang mempunyai kemudahan seperti elektrik dan bayaran sewa sudah termasuk dengan bil elektrik serta bayaran bulanannya adalah tetap?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan: 1. Hukumnya adalah sah, kerana rukun dan syarat jual beli cukup. Barang dan harga telah diketahui. Adapun ijab dan qabul adalah bukti redha. Firman Allah SWT Maksudnya : “dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu” (an-Nisa : 29) 2. Seandainya telah dipersetujui dari mula menyewa bahawa bayaran bulanan sewaan adalah termasuk dengan bayaran utiliti maka perjanjian ini adalah sah dan harus hukumnya. Jika syarat itu dipersetujui, maka ia valid. Hadis Nabi SAW : الناس عند شروطهم Maksudnya : “Urusan manusia itu adalah terikat dengan syarat-syarat yang dipersetujui mereka” Namun jika dilihat cara tersebut tidak relevan maka lakukanlah perundingan dengan pihak pemilik sewaan tersebut untuk mencari kaedah pembayaran yang terbaik. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.