Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Status perkahwinan suami isteri bila ada pihak ketiga yang memalsukan kematian si suami kepada isterinya tanpa pengetahuan si suami kerana ketika itu si suami koma akibat kemalangan. Si isteri tidak dibenarkan melihat jenazah suami buat kali terakhir. Selepas 20 tahun, baru segala2 terbongkar dan si suami rupa2 masih hidup. Si suami juga sebelum ini dimaklumkan bahawa isterinya itu juga sudah meninggal dunia. Adakah mereka masih suami isteri atau sudah bercerai selepas 20 tahun tersebut?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, penjelasan berkenaan perkara ini adalah seperti berikut : Imam Ibnu Baz telah menjelaskan di dalam Fatawa at-Talak Ibnu Baz, bilakah seorang wanita dianggap telah ditalak atau diceraikan; تعتبر المرأة طالقا إذا أوقع زوجها عليها الطلاق، وهو عاقل مختار ليس به مانع من موانع الطلاق كالجنون والسكر، ونحو ذلك. وكانت المرأة طاهرة طهرا لم يجامعها فيه أو حاملا أو آيسة Seorang wanita berstatus ditalak apabila: Suami yang menjatuhkan talak kepadanya. Ketika menjatuhkan talak, suami sihat akal fikirannya, tidak dipaksa, tidak mempunyai halangan untuk jatuhkan talak seperti gila dan mabuk dan sebagainya. Isterinya sedang suci (bukan dalam haid) dan belum digaulu, atau sedang hamil atau sudah menopause. Dalam Fatawa Syabakah Islamiyah dinyatakan: مجرد غياب الزوج عن زوجته لا يحصل به الطلاق مهما طالت المدة Maksudnya : “semata-mata berpisah antara suami isteri, tidak menjadikan mereka telah bercerai/ tertalak, meskipun waktunya lama” Oleh itu, berpisah dalam waktu yang lama atas sebab apa pun tidak dikira bercerai selagi mana suami tidak melafazkan cerai pada si isteri kerana hukum asal kuasa talak adalah ditangan suami. Jika setelah beberapa tahun suami kembali semula kepada isteri, maka mereka masih dikira sebagai suami isteri yang sah walaupun si isteri sudah bernikah lain. Imam Nawawi juga telah menjelaskan hal ini dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, tentang suami pertama jika datang setelah isterinya menikah, maka ia tetap menjadi isterinya dalam keadaan apa jua pun. Setelah itu, dilihat jika belum digauli dengan suami kedua, maka ketika itu juga keduanya disuruh bercerai. Setelah itu dirinya menjadi halal bagi suami yang pertama. Akan tetapi jika sudah digauli. Maka ketika itu juga dirinya disuruh bercerai dengan suami yang kedua, dan melaksanakan iddah. Dan dilarang bagi suami pertama untuk menggaulinya semasa iddahnya, sampai waktu iddahnya selesai. Jika sudah berlalu masa iddahnya, maka menjadi halal baginya. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.