BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang nafkah dalam hidup berumahtangga.

Usia perkahwinan saya baru masuk tahun ketiga dan telah mempunyai seorang anak berusia 2 tahun. Namun, saya dan suami sering bergaduh berkaitan nafkah. Apa yang saya faham seorang suami perlu menyediakan 4 perkara iaitu  pakaian, tempat tinggal, minuman dan perubatan. Suami saya cuma menyediakan RM150.00 sebulan untuk kegunaan saya tetapi tidak menyediakan 4 perkara yang tersebut diatas kerana kami tinggal berasingan atas tuntutan kerja.

Soalan saya adakah selesai tanggungjawab suami saya dengan memberi saya nafkah RM150.00 itu sahaja? Suami saya juga ada menyatakan hasrat nya untuk mengurangkan jumlah RM150.00 itu kepada RM100.00 sebulan kerana dia ingin menyimpan wang simpanan selepas ini.

Saya rasa ini tidak adil bagi saya kerana RM100.00 itu nilainya kecil dan 4 perkara wajib tersebut pun tidak ditunaikan sepenuhnya kepada saya. Malah keperluan anak juga tidak sepenuhnya ditanggung suami kerana kami berkongsi duit untuk keperluan anak.

Dia juga sering menyatakan bahawa saya isteri derhaka kerana tidak menyediakan makan minum seorang suami sedangkan saya hanya tahu meminta duit sahaja. Dia juga menyatakan bahawa nilai RM150.00 yang diberi hanyalah atas ikhsan seorang suami kepada isteri jadi saya tidak berhak untuk meminta lebih.

Mohon penjelasan pihak tuan untuk menjawab soalan saya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Perihal penetapan kadar nafkah suami kepada isteri, para ulama menyatakan tanggungjawab nafkah yang wajib diberi adalah keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan juga pembantu rumah (bagi suami yang mampu). Suami tetap bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri seorang yang kaya atau mempunyai pendapatan sendiri. Suami, sebagai seorang bapa juga turut bertanggungjawab menyediakan nafkah kepada anak-anak sebagaimana adat kebiasaannya. Apa yang isteri bantu untuk menyara anak adalah ihsan daripada isteri.

Selain itu juga, pemberian nafkah merujuk kepada kemampuan suami sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir dengan mengikut kadar ketentuan uruf atau adat masyarakat setempat. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat ke 231:

وَعلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

Menurut Imam Ibn Kathir, (بِالْمَعْرُوفِ) dalam ayat di atas menunjukkan adat kebiasaan yang dilakukan oleh mereka (isteri) mengikut negerinya dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak membebankan suami. Hal ini berdasarkan kemampuan suami sama ada kaya, sederhana atau miskin.

Kesimpulannya adalah, seorang suami wajib memberi nafkah kepada isterinya dengan menyediakan nafkah asas secara umum seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan seumpamanya mengikut kemampuan suami itu, yang penting ia mencukupi dan selesa untuk isteri dan anak-anaknya. Dalam masa yang sama, suami juga boleh menukar keperluan nafkah tersebut dengan memberi wang kepada isteri untuk membeli sendiri nafkah keperluannya. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 102

message user image