BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan, saya ada beberapa persoalan mengenai ikhtilat, saya harap tuan boleh jelaskan

1. Bolehkah kita sembang/bergaul/bertegur sapa/ dengan berlainan jantina. Contoh, seseorang itu berbual dengan rakan sekelas/rakan sekerja/rakan sekumpulan yang berlainan jantina. Contoh lain, mengucapkan tahniah atas kejayaan rakan yang berlainan jantina. Adakah dibolehkan dengan syarat menjaga batas ?

2. Apakah hukum berbual antara anak murid dan guru yang berlainan jantina. Adakah dibolehkan untuk berbual dengan guru yang sudah berumur ?

3. Adakah dibolehkan untuk sekumpulan dengan berlainan jantina dalam membuat tugasan universiti dan bekerja walaupun mempunyai peluang untuk sekumpulan dengan sama jantina. Adakah berdosa sekumpulan dengan berlainan jantina ?

 

 

Apakah hukum join aktiviti di universiti,macam program sukan,program sukarelawan,program kebudayaan yang melibatkan pergaulan lelaki dan perempuan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Ikhtilat yang difahami oleh masyarakat pada hari ini ialah percampuran di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Ikhtilat atau percampuran yang diharamkan dalam Islam pula adalah percampuran yang tidak terkawal serta tiada keperluan yang diiktiraf oleh syarak seperti belajar, rawatan perubatan dan sebagainya. Maka apa jua tujuan yang melibatkan keperluan untuk bergaul seperti belajar, mendapatkan rawatan dan seumpamanya adalah diharuskan ikhtilat dengan syarat menjaga batas pergaulan mengikut ketetapan syarak.

Hadis daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لاَ يَحلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ

Maksudnya: Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya (Riwayat Muslim)

Daripada nas di atas, jelas menunjukkan perbuatan berkhalwat di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah suatu yang dilarang. Di samping itu juga, seseorang muslim perlu mengetahui bahawasanya Allah SWT menjadikan wanita apabila dilihat akan menimbulkan keinginan (syahwat) dan kaum lelaki mudah tergoda dengan mereka. Untuk itu, fitnah wanita adalah fitnah yang dahsyat kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya. Ini dikuatkan lagi oleh ayat al-Quran di dalam surah Ali 'Imran ayat 14:

 زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوٰتِ مِنَ النِّسَاۤءِ وَالْبَنِيْنَ وَالْقَنَاطِيْرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْاَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ۗ ذٰلِكَ مَتَاعُ الْحَيٰوةِ الدُّنْيَا ۗوَاللّٰهُ عِنْدَهٗ حُسْنُ الْمَاٰبِ 

Maksudnya: Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik.

Menjawab soalan yang diajukan:

1. Diharuskan bertegur sapa di antara lainan jantina selagimana menjaga batas pergaulan yang dibenarkan oleh syarak. Walaubagaimanapun sebaiknya sesuatu pergaulan itu perlu didasari dengan hajiyyat (hajat) supaya tidak membawa kepada perbincangan yang tidak bermanfaat. Adapun perbuatan berdua-duaan tanpa sebarang hajat dan kerana suka-suka ditegah oleh Islam.

2. Seorang murid diharuskan bergaul bersama guru-guru dalam urusan menuntut ilmu kerana terdapat keperluan dalam memelihara aspek kemuliaan akal. Adapun perbuatan menyapa dan berbual bersama guru-guru yang lebih berusia diambil kira sebagai salah satu bentuk santunan yang wajar diberikan sebagai tanda hormat kepada mereka.

3. Duduk sekumpulan bersama lainan jantina hanya diharuskan dalam perkara-perkara yang bersifat hajiyyat (hajat) seperti menyelesaikan tugasan universiti, pekerjaan dan sebagainya. Namun begitu, pergaulan tersebut hanya diharuskan selagimana menjaga batas pergaulan berlandaskan panduan syarak. Walau bagaimanapun, jika terdapat peluang duduk sesama jantina adalah terlebih utama bagi mengelakkan sebarang bentuk fitnah yang kemungkinan boleh berlaku.

4. Hukum menyertai program bercampur lainan jantina adalah harus sekiranya mematuhi garis panduan dan etika ikhtilat syarie. Di samping itu juga, perlu dipastikan bahawa ia selamat daripada tohmah (fitnah dan syak wasangka), dilakukan secara berkadaran, menjaga adab-adab pergaulan dan tidak melampaui had yang dibenarkan. Penganjuran program yang tidak menitikberatkan tentang konsep pergaulan batas seperti konsert yang melaikan, sukan yang tidak menutup aurat dan sebagainya adalah diharamkan kerana perbuatan tersebut bersalahan dengan prinsip Islam.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 304

message user image