Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: As-salamu `alaikum wa rahmatul-lahi wa barakatuh. Bagaimanakah haul bagi emas/perak perhiasan (barang kemas) dikira? Contoh: Seorang muslimah memiliki 250 gram emas perhiasan. Apakah dia wajib untuk mengeluarkan zakat padanya sekiranya dia memakai 170 gram emas perhiasan ini hanya satu (1) hari dalam setahun takwim Hijrah, manakala 80 gram selebihnya tidak dipakai langsung dalam setahun takwim Hijrah? Apakah implikasi dua hadith di bawah dalam kiraan zakat emas/perak perhiasan? عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ امْرَأَةً أَتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعَهَا ابْنَةٌ لَهَا وَفِي يَدِ ابْنَتِهَا مَسَكَتَانِ غَلِيظَتَانِ مِنْ ذَهَبٍ فَقَالَ لَهَا أَتُعْطِينَ زَكَاةَ هَذَا قَالَتْ لَا قَالَ أَيَسُرُّكِ أَنْ يُسَوِّرَكِ اللَّهُ بِهِمَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ سِوَارَيْنِ مِنْ نَارٍ قَالَ فَخَلَعَتْهُمَا فَأَلْقَتْهُمَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَتْ هُمَا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَلِرَسُولِهِ Dari `Amr bin Shu`aib, dari bapanya, dari datuknya [yakni `Abdullah bin `Amr bin Al-As]: Sesungguhnya telah datang kepada Rasulullah SAW seorang perempuan bersama anak perempuannya, dan di tangan anaknya terdapat dua gelang emas yang tebal. Beliau bertanya kepadanya, "Apakah kamu akan mengeluarkan zakat pada [dua gelang emas] ini?" Ia menjawab, "Tidak." Beliau bersabda, "Apakah kamu suka jika Allah memakaikan kamu pada hari kiamat dengan dua gelang dari api neraka (kerana tidak mengeluarkan zakat pada kedua gelang itu)?" `Abdullah bin `Amr berkata: Maka ia melepaskan keduanya [gelang emas itu], kemudian menyerahkannya kepada Nabi SAW, dan berkata, "Keduanya untuk Allah dan Rasul-Nya." [Hasan (Al-Albani): Abu Dawud no. 1563. Juga An-Nasa'i no. 2481 & At-Tirmizi no. 637] عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَدَّادِ بْنِ الْهَادِ أَنَّهُ قَالَ دَخَلْنَا عَلَى عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَأَى فِي يَدَيَّ فَتَخَاتٍ مِنْ وَرِقٍ فَقَالَ مَا هَذَا يَا عَائِشَةُ فَقُلْتُ صَنَعْتُهُنَّ أَتَزَيَّنُ لَكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَتُؤَدِّينَ زَكَاتَهُنَّ قُلْتُ لَا أَوْ مَا شَاءَ اللَّهُ قَالَ هُوَ حَسْبُكِ مِنَ النَّارِ Dari `Abdullah bin Shaddad bin Al-Had, bahawasanya ia berkata: Kami telah datang kepada `A'ishah isteri Nabi SAW. Lalu ia berkata, "Rasulullah pernah datang kepadaku dan melihat cincin-cincin perak di tanganku, seraya bertanya, 'Apa ini, wahai `A'ishah?' Lantas aku menjawab, 'Aku telah membuatnya sebagai perhiasan untuk kamu, wahai Rasulullah!' Beliau bertanya lagi, 'Apakah kamu telah mengeluarkan zakatnya?' Aku menjawab, 'Tidak', atau 'Terserah kehendak Allah'. Maka Rasulullah bersabda, 'Ia cukup sebagai bahagian kamu dari api neraka'." [Sahih (Al-Albani): Abu Dawud no. 1565] Mohon pihak tuan maklumbalas dalam masa terdekat.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, kaedah Kiraan Zakat Emas Perhiasan Wanita (اَلْحُلِّى) Emas perhiasan adalah emas yang digunakan untuk perhiasan pada anggota badan wanita, perkakasan atau perabot sama ada digunakan sekali-sekala atau dipakai secara berterusan sepanjang tahun. Emas perhiasan wanita yang wajib dibayar zakat adalah apabila jumlah beratnya melebihi kadar ‘uruf (adat kebiasaan). Kadar ‘uruf emas perhiasan terkini di negeri Selangor adalah sebanyak 800 gram (kadar uruf semasa). Jika emas perhiasan seseorang wanita adalah seberat 900 gram, dan ianya dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun qamariah (haul), samaada dipakai serentak atau diganti-ganti, maka kiraan zakat perhiasannya adalah seperti berikut; Contoh: [(Berat emas yang dipakai – Uruf) x harga emas semasa x 2.5%] (900 gram – 800 gram) x RM144.38 = RM14,438 x 2.5% = RM360.95 Jika seseorang wanta memakai emas perhiasan seberat 170 gram didalam satu tahun qamariah (haul) , maka tidak diwajibkan zakat keatasnya kerana berat emas perhiasan tersebut tidak melebihi kadar ‘uruf semasa iaitu 800 gram. Manakala 80 gram yang disimpan sepanjang tahun qamariah (haul) juga tidak dikenakan zakat keatasnya kerana kurang dari nisob zakat emas simpanan iaitu 85 gram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.