BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum panel Jabatan Mufti. Saya ada persoalan berkaitan penceraian. Beberapa tahun yang lalu saya ada bertaklik terhadap isteri saya bahawa sekiranya saya mencarut terhadapnya maka jatuh talak 1. Selepas beberapa tahun, kami telah bercerai talak 1 disebabkan saya telah melanggar taklik atas sebab yang lain. Baru-baru ini kami bergaduh dan saya telah mencarut terhadapnya dengan yakin bahawa taklik yang sekiranya saya mencarut itu telah terbatal disebabkan kami telah pun bercerai talak 1. Persoalanya adakah taklik mencarut itu masih sah walaupun saya telah bercerai talak 1? Apakah saya dan isteri sekarang telah bercerai talak 2? Apakah langkah yang perlu kami lakukan.

Sejujurnya saya sangat sayangkan isteri saya apatah lagi kami sudah mempunyai anak-anak. Masalahnya ialah apabila isteri saya sering kali berkata yang saya terlalu lebihkan keluarga saya dan dia berkata dia menyesal memilih berkahwin dengan saya, sehinggakan dia teringatkan kawan lelakinya ketika dulu yang mempersoalkan dia memilih saya. Dia sehinggakan pernah mencarut terhadap ibu bapa saya (dibelakang ibu bapa saya) ketika dia sangat marah. Dia seorang isteri yang baik (menjaga maruah) dan pergaulan. Dia memnyalahkan saya sekiranya kami bercerai, sudah tiada apa yang dapat dia lakukan kerana dia sudah berhenti bekerja beberapa tahun yang lalu. Sekiranya kami tidak bercerai, kami hanya akan berbaik sementara dan bergaduh semula disaksikan anak-anak kecil. Mohon nasihat pihak panel.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, apabila seseorang suami melafazkan taklik kepada isterinya, maka taklik itu tidak boleh dibatalkan dan akan kekal sepanjang perkahwinan mereka selagi tidak dilanggar. Para Ulama sepakat bahawa sekiranya berlaku talak raj'i, lalu suami melakukan rujuk sebelum berakhirnya tempoh iddah, maka taklik tersebut tetap kekal berkuatkuasa. Walau bagaimanapun, seandainya telah berlalu tempoh iddah, lalu suami isteri itu berkahwin semula dengan akad serta mahar yang baharu, maka berdasarkan pandangan mazhab Syafi'i kesan taklik tersebut hilang atau terbatal. 

Untuk peringatan bersama, kehidupan alam perkahwinan itu bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Perkahwinan itu memerlukan komitmen tinggi yang diikuti dengan tanggungjawab. Tiada satu pun pasangan telah berkahwin yang tiada masalah dalam rumahtangga mereka. Masalah dan ujian itu pasti ada, yang membantu mereka untuk hadapi situasi ini ialah dengan kefahaman ilmu rumahtangga, kebijaksanaan dalam mengurus rumahtangga dan kebolehan untuk bertoleransi antara suami isteri. Dan yang paling penting adalah penjagaan kita terhadap hak Allah dari sudut pelaksanaan ibadah dan kewajipan terhadap-Nya yang sempurna, serta penjagaan terhadap hak sesama manusia.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 104

message user image