Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum.
Apa pandangan jabatan mufti negeri berkenaan Khatamunnubuwwah (Penyudah nabi)? Boleh kah mempercayai perkara tersebut dan menampal gambarajahnya di rumah atau di mana sahaja? Adakah ini berupa tangkal dan mendekati syirik?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Khatamun Nubuwwah atau tanda kenabian yang berada di antara dua bahu Nabi SAW merupakan salah satu tanda kerasulan dan kenabian Nabi Muhammamd SAW. Daripada Jabir bin Samurah RA berkata;
رَأَيْتُ الْخَاتَمَ بَيْنَ كَتِفَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غُدَّةً حَمْرَاءَ مِثْلَ بَيْضَةِ الْحَمَامَةِ
Maksudnya: Aku melihat tanda (kenabian) di antara kedua bahu Rasulullah SAW, iaitu isi lembut kemerah merahan sebesar telur merpati.
(Riwayat al-Tirmizi)
Apa sahaja yang disandarkan kepada Nabi SAW termasuk apa yang ada pada tubuh Nabi SAW yang mulia, pakaian yang pernah dipakai, tempat yang pernah dihadiri dan barang yang pernah disentuh kesemuanya itu ada keberkatan dan kemuliannya yang tersendiri. Para sahabat terdahulu sentiasa mengambil peluang untuk mendapat keberkatan daripada Nabi SAW dan apa sahaja yang disandarkan kepada Baginda. Namun jika hanya sekadar gambar atau lakaran, ia tidak memilik apa-apa keberkatan melainkan dapat mengingatkan kita kepada Nabi SAW.
Perbuatan menggantung gambar Khatamun Nubuwwah di rumah adalah dilarang jika beriktikad bahawa ia boleh membawa manfaat atau menolak kemudaratan.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 148