BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya berada di luar negara dan kami suami isteri berada dalam perkahwinan jarak jauh disebabkan beberapa komitmen yang perlu diselesaikan dan pada awalnya di persetujui kedua dua pihak. Namun begitu, ada berlaku perselisihan dan suami mengucapkan ungkapan seperti di bawah dan beberapa lagi ungkapan yang kurang jelas jika ia nya bermaksud cerai.  

Apabila ditanya niat suami tentang beberapa ungkapan nya, suami kata tiada niat bercerai. Boleh kah saya berpegang kepada apa yang suami maklumkan kepada saya (tentang niat nya) dan yakin bahawa tidak berlaku talak? 

Antara ungkapan nya : 

Duduk lah nak duduk sana, tak payah balik

Pergi lah nak pergi mana mana pun, saya taknak limit kan awak, mungkin awak lebih happy


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", atau "Aku talakkan engkau" dan sebagainya maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهُنَّ جَدٌّ، وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِّكَاحُ، وَالطَّلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).

Yang kedua adalah talak kinayah (tidak jelas), ia seperti ucapan suami kepada isteri: "Kau bukan isteri aku", "Antara kita tidak ada hubungan lagi" dan sebagainya maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Menjawab pertanyaan puan :

1. Ungkapan suami puan yang berbunyi: "Duduk lah nak duduk sana, tak payah balik" boleh dianggap sebagai ucapan kinayah (lafaz yang tidak sorih). Perkataan tersebut boleh membawa pelbagai maksud yang lain selain maksud talak, mungkin boleh membawa maksud semata-mata jangan balik, atau bermaksud marah atau merajuk atau sebagainya. Oleh yang demikian, jatuh atau tidak lafaz kinayah tersebut, adalah  bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Dalam menentukan perkara dalaman atau batin seperti ini, pengakuan suami adalah amat penting. Ini adalah kerana pengakuan suami akan menjadi penentu sama ada talak berlaku atau pun tidak. Oleh itu, segala tanggungjawab adalah terletak di bahu suami terhadap pengakuan yang dibuat seandainya pengakuan yang dibuat adalah tidak benar. Ini berdasarkan kepada kaedah Fiqh:

نحن نحكم بالظواهر والله يتولى السرائر

Maksudnya: Kita (manusia) menghukum sesuai berdasarkan kepada yang zahir, manakala Allah SWT menentukan perkara yang tersembunyi. 

Walau bagaimanapun, pihak yang berautoriti menentukan serta mengesahkan berlaku talak atau tidak adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

2. Adapun ungkapan suami "Pergi lah nak pergi mana mana pun, saya tak nak limit kan awak, mungkin awak lebih happy", Lafaz yang diucapkan oleh suami puan tersebut bukan merupakan lafaz talak atau cerai yang sorih (jelas) dan juga bukan lafaz kinayah (sindiran). Lafaz itu adalah satu penyataan yang mungkin hendak menerangkan kepada puan tentang tindakan yang puan lakukan dan suami tidak menghalang perbuatan itu.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 97

message user image