BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya hendak bertanya berkenaan soal zakat fitrah bagi pasangan suami isteri yang berjauhan kerana perhubungan jarak jauh dan tanggungan ibu/ayah (tidak bekerja) yang berada di negeri lain.

 

Contohnya, saya menetap di Selangor, isteri menetap di Kedah kerana kerja dan ibu menetap di Terengganu. Jadi untuk zakat fitrah itu perlu dibayar mengikut negeri atau boleh disatukan untuk dibayar di negeri suami  bekerja?

 

Mohon bantuan untuk permasalahan ini. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Zakat fitrah mereka yang berada di bawah tanggungan tuan seperti ibu bapa yang tidak bekerja dan isteri adalah menjadi tanggungjawab tuan. Zakat fitrah hendaklah dibayar di negeri tuan bekerja dan dengan kadar yang ditetapkan di negeri tersebut.

Hal ini bersesuaian dengan apa yang telah diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW, bahawa zakat itu dikutip dan diagih kembali di tempat asal di mana harta kekayaan itu berada. Daripada Ibnu Abbas Radhiallahuanhu, ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az bin Jabal Radhiallahuanhu ke Yaman untuk berdakwah.

فَأَعْلِمْهُمْ أنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ.

Maksudnya: Dan ajarkanlah penduduk Yaman, bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka zakat pada harta mereka, diambil daripada golongan kaya dalam kalangan mereka dan diagihkan kepada golongan fakir dalam kalangan mereka.

(Riwayat al-Bukhari)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 53

message user image