BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya nak tanya soalan jika selama ini si suami mati-mati percaya yang si isteri sudah meninggal, tetapi rupanya masih hidup dan tiba tiba si isteri memunculkan diri setelah beberapa tahun, apakah status perkahwinan mereka?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada situasi yang dikemukakan, pihak suami sepatutnya telah mendapatkan kepastian dengan membuat siasatan dan mencari bukti seperti Sijil Kematian atau ada kubur isteri, lebih-lebih lagi urusan berkaitan kematian isterinya sendiri. Sewajarnya suami lebih tahu keadaan isteri dan boleh dapatkan kepastian melalui keluarga dan saudara-mara isteri. Sebagai suami isteri, apabila berlaku kematian salah seorang daripada mereka, pasangan akan membuat urusan berkaitan harta pusaka, urusan hutang, dokumentasi dan sebagainya yang perlu diselesaikan. Agak tidak masuk akal jika hanya percaya bulat-bulat berita kematian tanpa usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan kebenarannya.

Jika situasi suami isteri yang berjauhan atau meninggalkan pasangannya atau saling tidak mengambil berat antara satu sama lain, perkara ini boleh diadukan ke pihak Mahkamah Syariah untuk membuat pengesahan ke atas perkahwinan mereka. Terdapat peruntukan undang-undang dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Seksyen 53 (1) (a) - Perintah Untuk Membubarkan Perkahwinan Atau Untuk Fasakh, menyebut bahawa:

(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—

     (a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

Jika hubungan antara suami isteri itu terputus dan tiada khabar berita, dan salah seorang daripada mereka tidak pernah mengadukan hal kedudukan perkahwinan mereka ke mana-mana Mahkamah Syariah dan apabila bertemu semula setelah beberapa tahun, maka hubungan mereka adalah sah sebagai suami isteri dengan syarat suami tidak pernah melafazkan perceraian dan isteri pula tidak pernah membuat sebarang tuntutan kepada Mahkamah Syariah terhadap perkahwinannya. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 84

message user image