BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum wbt. Saya seorang mualaf dan pada tiga tahun lepas (2021) saya telah berkhatan. Jadinya, setelah berkhatan saya dapati saya menghadapi penyakit kencing tidak lawas (salisul baul) setelah membuang air kecil. Namun baru baru ini penyakit kencing tidak lawas saya semakin baik selepas mengamalkan pemakanan ubat penyakit kencing tidak lawas. Oleh itu, buat masa sekarang setelah buang air kecil dan istibrak, saya membersihkan najis di kemaluan dengan menggunakan tissue untuk memastikan bahawa tiada basahan yang keluar di kemaluan setelah membersihkan najis tersebut. Namun, setelah membersihkan najis tersebut, saya dapati terdapat sedikit basahan di celah celah tempat keluarnya air kencing. Jadi soalan saya adalah, adakah basahan yang sedikit di celah tempat keluarnya air kencing itu dianggap normal (umum al balwa) atau tetap dianggap najis dan saya perlu benar benar memastikan kawasan tersebut kering sebelum melakukan ibadah dan aktiviti harian. Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan perlu memastikan basahan tersebut berdasarkan kepada sifat dan ciri-cirinya sama ada ia kesan basuhan, iaitu air atau sesuatu yang keluar daripada dalam kemaluan, iaitu air kencing. Seandainya selepas mengeringkannya dan basahan tetap keluar, maka ia bukanlah kesan air basuhan. Oleh itu, besar kemungkinan puan masih lagi mengalami masalah kencing tidak lawas. Walau bagaimanapun puan disarankan untuk membuat kepastian daripada mana-mana doktor di klinik berdekatan.

Oleh itu, jika memang terdapat penyakit kencing tak lawas, para fuqaha’ telah meletakkan beberapa garis panduan buat golongan ini dalam berwudhu’ seperti berikut:

1. Bersihkan bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas, ditutup dengan bandage, memakai pampers atau lain-lain. 

2. Segera mengambil wuduk dan kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat..

3. Wajib mengambil wuduk’ bagi setiap solat fardu dan wuduk tersebut boleh digunakan untuk beberapa solat sunat selepas solat fardu.

4. Ketika mengambil wuduk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wuduk. Contohnya: ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Ta'ala”. Tidak harus semasa mengambil wuduk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama air kencing sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.

5. Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walaupun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk atau solat.

6. Wajib menggantikan balutan/bandage/plaster/pampers dengan yang baru sekiranya memperbaharui wuduk dan wuduknya itu akan terbatal dengan perkara-perkara lain yang membatalkan wuduk seperti keluar angin, gila, dan sebagainya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 77

message user image