BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya, apa yang perlu dilakukan apabila seluruh lantai dalam rumah terkenal najis? Ini kerana pembantu saya hanya menjirusnya tanpa menghilangkan ain najis burung peliharaan tersebut, air jirusan itu kemudiannya menyebar ke seluruh lantai rumah


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya wajib dibersihkan dan disucikan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya: Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan. (Riwayat al-Bukhari)

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, membersihkan najis burung pada lantai rumah perlu dihilangkan terlebih dahulu najis tersebut seterusnya dialirkan atau disiramkan air pada tempat yang terkena najis tersebut sehingga hilang bau, rasa dan warna. Ini kerana, menyucikan najis mutawasitah adalah dengan dialirkan air ke tempat yang terkena najis tersebut. Jika sekadar hanya mengelap dengan kain atau tisu basah sahaja, maka itu tidak menepati syarat untuk mensucikan najis tersebut.

Namun, seandainya air yang dijirus tersebut tidak berubah sifatnya serta tidak membawa kesan najis seperti bau, warna atau rasa, maka air itu bukan air mutanajis. Namun sekiranya air itu berubah sifatnya dengan terdapat kesan najis seperti bau, warna atau rasa, atau air itu bertakung, maka air itu menjadi air mutanajis. Oleh itu, perlu dibasuh tempat yang telah dilalui air jirusan tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 58

message user image