BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t

Soalan.

Saya ada menjaga seorang anak saudara yatim piatu yang berusia 9 tahun. Saya musykil tentang beberapa perkara. Harap dapat bantu saya supaya tidak melanggar hukum dalam memelihara anak saudara.

1. Bolehkah dan apa hukum menggunakan harta anak yatim untuk bersedah kepada orang lain dengan niat untuk akhirat serta ibu bapanya?

2. Adakah boleh duit tersebut digunakan untuk tujuan pelaburan seperti asb atau emas?

3. Bolehkah duit tersebut digunakan untuk menjelaskan hutang² arwah ibubapa dia?

4. Harta tersebut perlu diserahkan bila capai umur. Tapi dia masih kecil dan bersekolah. Duit tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan keperluan peribadi dan sekolah dia tak?

Duit tersebut semua peninggalan arwah ibu ayah bukan dari sumbangan orang ramai.

Terima kasih. Maaf terlalu banyak soalan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 
Merujuk kepada soalan yang diajukan,

  1. Tidak diharuskan untuk menggunakan harta anak yatim untuk disedekahkan kepada orang lain dengan niat untuk kebajikan dirinya di akhirat atau untuk ibu ayahnya.

  2. Secara asasnya menggunakan harta anak yatim untuk tujuan pelaburan serta mengembangkan lagi harta tersebut adalah diharuskan. Walau bagaimanapun hendaklah dipastikan pelaburan yang dibuat merupakan pelaburan yang berisiko rendah, dijamin kesahannya serta mematuhi syarak seperti ASB dan seumpama dengannya. Namun melabur di dalam pelaburan yang berisiko tinggi atau tidak dapat dipastikan kesahannya seperti saham emas dan sebagainya, maka ia hendaklah dielakkan. 

  3. Menggunakan harta anak yatim untuk membayar hutang ibu dan ayahnya adalah kaedah yang kurang tepat kerana hutang ibu dan ayahnya mestilah dibayar terlebih dahulu selepas berlaku kematian dan sebelum harta dibahagikan kepada ahli waris. Jika harta anak telah diperolehi secara hibah dan telah berlaku perpindahan harta maka harta tersebut adalah harta anak itu dan ia tidak boleh digunakan untuk membayar hutang arwah melainkan setelah mendapat keizinan daripada pemilik harta itu iaitu anak yatim tersebut. Dalam situasi di atas harus membayar hutang ibu dan ayah kerana hutang lebih diutamakan sebelum pembahagian harta pusaka.

  4. Harta anak yatim perlu diserahkan sebaik sahaja mencapai umur yang pada kebiasaannya dia boleh mengurus hartanya sendiri, sehingga tiba umur yang sesuai itu penjaga anak yatim boleh menggunakan harta tersebut untuk belanja dan keperluan anak yatim itu secara berhemah termasuklah keperluan peribadi dan sekolah anak tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 136

message user image