BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya berkenaan rawatan sedutan gas hidrogen (Hydrogen Gas Inhalation Therapy)

Rawatan hidrogen ini ialah rawatan memasukkan gas hidrogen ke dalam hidung, telinga dan mata menggunakan tiub (hidung dan telinga) dan google (mata). Kami guna satu mesin yang dapat mengasingkan molekul hidrogen daripada air (H²O) supaya dapat salurkan gas hidrogen asli ke dalam badan pesakit (antioksidan yang tinggi)

Pesakit akan duduk di atas kerusi dengan selesa dan fisioterapis akan memasangkan tiub dan google di pesakit. Kemudian mesin akan di on kan. Gas (bukan cecair) hidrogen akan disalurkan ke badan pesakit melalui ketiga rongga tadi. Tempoh rawatan pula bergantung kepada keperluan pesakit, rawatan ni boleh dibuat selama 30minit hingga beberapa jam.

Untuk orang yang sihat pun boleh buat rawatan ini untuk maintenance badan dan mencegah diri daripada penyakit.

Soalannya adakah rawatan ini boleh dibuat ketika berpuasa Ramadan? Adakah rawatan ini sama hukum dengan hukum guna inhaler? Adakah yang berkeperluan sahaja boleh buat dan tidak membatalkan puasa atau macam mana? 

Terima kasih banyak


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Ibadah puasa yang dilakukan bukanlah semata-mata menahan diri dari lapar dan dahaga di siang hari, tetapi sebagai lambang keimanan dan ketakwaan sebagai hamba dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ﴿١٨٣﴾ ‎‏

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Berdasarkan ayat di atas, antara kewajipan yang perlu dilakukan bagi orang berpuasa adalah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, menyedut gas hidrogen sama ada melalui hidung mahupun mulut sehingga melepasi had rongga dalam tidak membatalkan puasa. Ini adalah kerana hidrogen merupakan gas seperti gas oksigen atau udara yang disedut oleh manusia pada kebiasaannya. Berbeza dengan menyedut inhaler yang mana gas yang disedut mengandungi ubatan berbentuk partikel wap air yang menjadikannya membatalkan puasa.

Walau bagaimanapun, kewajaran bagi orang yang sihat untuk mengambil gas hidrogen sama ada pada bulan Ramadhan atau bulan yang lain, kami memerlukan perjelasan serta penerangan yang lebih mendalam daripada pihak pakar yang berkenaan mengenai kesan pengambilan gas tersebut sebelum meletakkan sebarang pandangan hukum terhadap perkara ini.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 48

message user image