BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soalan: Saya mewakili kawan saya (nama samaran Ali) ada beberapa kemusykilan dan inginkan penjelasan lebih jelas dari pihak yang lebih arif mengenai hukum agama dan juga undang-undang dalam Malaysia. 1. Ali telah bernikah pada April 2018 dengan seorang gadis (nama samaran Siti) yang sedang mengandung 3-4 bulan ketika itu. Anak yang dikandungkan itu BUKAN zuriat Ali. Mengikut kata Siti, dia sudah terlanjur dan lelaki yang mengandungkan dia sudah meninggal akibat kemalangan (mereka tidak sempat bernikah). PERSOALAN : Apakah hukumnya berkahwin dengan perempuan yang sedang mengandung (terutamanya anak luar nikah)? 2. Keluarga Siti merancang apabila anak luar nikah yang dikandungkan Siti lahir ke dunia, nama anak tersebut hendaklah di bin atau di binti kan dengan nama Ali. PERSOALAN : Apakah hukum anak luar nikah di bin atau di binti kan dengan nama bukan bapa kandungnya? 3. Sejak melangsungkan perkahwinan pada bulan April, hubungan Ali dan Siti seringkali berlaku pergaduhan sehinggakan ada suatu malam dalam bulan Mei, Ali telah melafazkan talak 1 pada Siti. Namun, selepas beberapa jam kemudian, mereka rujuk kembali bersaksikan keluarga Siti. Lafaz talak tersebut tidak difailkan pada pejabat agama. PERSOALAN : Perlukah mereka menfailkan perceraian tersebut mengikut undang-undang? Jika tidak, apakah tindakan yang boleh diambil? Adakah ini bermakna hanya tinggal baki 2 talak (3-1=2) sahaja lagi ? 4. Baru-baru ini (akhir Julai 2018), Ali telah melafazkan talak 3 (mengikut cerita Ali sendiri) kepada Siti bersaksikan ibu dan ayah Siti. Namun beberapa hari selepas Ali melafazkan talak, Siti mengatakan bahawa dia mendengar Ali melafazkan talak 2 padanya ketika itu dan bukannya talak 3. Dan sehingga kini mereka belum menfailkan perceraian pada pejabat agama. PERSOALAN : Adakah sah talak 3 yang dilafazkan oleh Ali pada Siti yang sedang mengandungkan anak luar nikah? Bilakah mereka perlu menfailkan perceraian tersebut? Apakah tindakan yang boleh dikenakan sekiranya mereka tidak menfailkan perceraian tersebut? 5. Saya sedikit musykil berkaitan isu talak ini. Ada pendapat yang saya dengar, seorang suami tidak boleh melafazkan talak 3 sekaligus. Jika dia melafazkan juga talak 3 sekaligus buat pertama kali, maka ia tetap dikira sebagai talak 1. Dan jika dia mengulangi lagi lafaz talak, maka akan jatuh talak 2 ( 1+1=2). Sehingga lafaz kali ketiga, barulah jatuh talak yang tidak boleh dirujuk semula (1+1+1=3). Manakala ada pula pendapat lain mengatakan suami boleh melafazkan talak 3 sekaligus dan ia tidak boleh rujuk semula melainkan setelah isterinya diceraikan suami barunya dan telah tamat iddah dengan suami barunya. PERSOALAN : Pandangan atau pendapat yang mana satu kah yang betul mengikut hukum Islam dan undang-undang dalam Malaysia? Saya amat berharap pihak ustaz/ustazah mampu memberikan penjelasan yang jelas mengenai kemusykilan saya seperti yang diterangkan di atas. Kerjasama pihak ustaz/ustazah amat saya hargai dan sekalung penghargaan terima kasih diucapkan.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan: 1. Bernikah dengan perempuan yang sedang hamil adalah harus, dengan syarat pernikahannya itu memenuhi rukun dan syarat sah nikah. Tetapi anak yang dikandung oleh perempan tersebut tidak boleh dinasabkan (bin/binti) kepada Ali, kerana anak itu adalah anak tidak sah taraf, tidak boleh menerima harta pusaka daripada Ali, tidak menjadi mahram kepadanya Ali dan Ali tidak boleh menjadi walinya. 2. Hukumnya adalah haram. Anak tersebut hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah. 3. Talak yang dilafazkan oleh Ali perlu diteliti sama ada ia soreh atau kinayah. Perkara ini mesti dikemukakan segera ke Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran agar status pernikahan mereka disahkan oleh Hakim. Tidak boleh menyembunyikan sebarang perceraian dan merujuk sendiri isteri tanpa didaftarkan ke pihak mahkamah. Ia menjadi satu kesalahan undang-undang dan dianggap meremehkan hal ehwal hukum syarak. Pihak mahkamah yang akan menentukan berapa baki talak yang ada. 4. Oleh kerana lafaz talak pertama dahulu tidak dilaporkan ke Mahkamah Syariah, bagaimana mereka boleh sewenang-wenangnya menentukan sendiri bilangan talak yang berlaku kemudian. Sebaiknya kes-kes sebegini terus dibawa ke Mahkamah Syariah yang berhampiran, supaya tidak berlaku masalah seperti ini dikemudian hari. Makin lama makin merumitkan pasangan itu sendiri. 5. Kemusykilan berkaitan talak ini hendalah terus dikemukakan ke Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa menentukan kesahannya. Tidak boleh sewenang-wenangnya ditentukan sendiri oleh pasangan suami isteri. Pihak mahkamah akan menyiasat dan mengesahkan status pernikahan mereka kelak. Mengikut undang-undang, perkara ini mestilah dilaporkan ke pihak mahkamah berdasarkan kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri masing-masing. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 495

message user image