BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz. Beberapa hari lepas, sewaktu lepas habis sekolah, saya mendapati ada dua titisan kering yang berwarna putih pada seluar saya. Saya hairan kerana pada pagi tersebut, saya tidak nampak apa-apa titisan langsung pada pakaian. Saya memulai ragu-ragu sekiranya saya telah mengeluarkan air mani, mazi atau wadi kerana saya sedang menjalankan puasa dan takut ia terbatal. Saya merasakan ia adalah air wadi kerana sifatnya yang hampir serupa dengan air mani dan juga kerana saya tidak melakukan apa-apa yang boleh meningkatkan nafsu syahwat saya. Akan tetapi, saya mahu pendapat dari yang lebih arif. 1) Adakah air wadi boleh keluar tanpa disedari? 2) Adakah ibadah puasa saya terbatal? 3) Adakah ia benar-benar air wadi?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan,

Merujuk kepada persoalan tuan, perlu dipastikan keadaan cecair tersebut seperti berikut:

1. Air mani: Iaitu air yang keluar dengan cara dan rasa lazat, serta diiringi lembiknya zakar dan merasai kepuasan syahwat selepasnya. Sekalipun ia tidak memancut kerana kuantitinya yang sedikit walaupun sekadar satu titis sahaja, atau keluar seperti warna darah kerana terlalu kerap melakukan jimak. Cecair ini mempunyai bau seperti tepung yang diuli apabila ia basah, atau berbau hanyir seperti bau telur putih jika ia kering. Wajib mandi wajib meskipun tidak merasa lazat ketika keluarnya ataupun jika keluarnya tanpa memancut (bagi lelaki) seperti keluar selepas mandi, sama ada bagi lelaki atau wanita. Tidak disyaratkan wujud kesemua sifat tersebut tetapi memadai dengan satu sifat sahaja. Jika kesemua sifat yang tersebut tidak ada, tidak wajib mandi kerana ia bukan mani. Air mani adalah suci dan ia bukan najis.

2. Air mazi: Iaitu air yang berwarna putih, halus dan melekit. Keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bermesra bersama isteri, atau memikirkan dan berkhayal tentang perlakuan jimak. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya air mazi. Air mazi adalah najis mutawassitah dan wajib disucikan.

3. Air wadi: Iaitu air yang keruh dan pekat yang hampir menyerupai mani dari sudut kepekatannya dan tidak sama seperti mani dari sudut kekeruhan warnanya, tidak mempunyai warna dan keluar selepas kencing atau ketika mengangkat sesuatu yang berat. Ia juga boleh keluar akibat melakukan kerja atau aktiviti yang memenatkan atau meletihkan. Air wadi keluar sebanyak satu atau dua titisan, tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya air wadi. Air wadi adalah najis mutawassitah dan wajib disucikan.

Berdasarkan kepada keterangan yang diberikan: 1. Air wadi boleh keluar dengan tanpa disedari. 2. Keluarnya air wadi tidak membatalkan puasa. 3. Besar kemungkinan ia adalah air wadi. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 53

message user image