BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,

Soalan Saya:

Berlaku situasi imam terlupa dalam solat.

Penjelasan situasi bagi IMAM adalah seperti ini:

Imam Solat Subuh pada hari jumaat dan membaca surah sajadah, pada ayat sajadah, beliau teringat beliau sujud sajadah ketika mana sujud yang kedua yang sepatutnya sujud sajadah hanya satu sujud dan perlu bangun sambung solat selepas selesai sujud sejadah. Dan beliau menyambung solat dengan meneruskan bacaan ketika bangun dari sujud dan selesaikan solatnya. Dan pada akhir solat pon terlupa sujud sahwi.

Penjelasan situasi MAKMUM tentang imam terlupa:

Imam Solat Subuh pada hari jumaat dan membaca surah sajadah, pada ayat sajadah, Beliau rukuk dan tidak melakukan sujud sajadah malah menyempurnakan rakaat pertama, kemudian pada rakaat kedua tersedar imam tidak membaca Al-Fatihah malah menyambung ayat (Tata Jafa Junubuhum.....) sehingga habis m/s tersebut. Kemudian tidak membaca qunut pada rakaat tersebut, kemudian bangun selepas sujud kedua rakaat tersebut dan menjadikan solat subuh itu tiga (3) rakaat, beberapa jemaah telah menegur imam ketika duduk yang sepatutnya tahiyat akhir, malah imam masih meneruskan solatnya. Kemudian pada akhir solat beliau lupa sujud sahwi. 

Selesai dari wirid dan doa, imam menjelaskan beliau meminta maaf kerana terlupa pada perkara yg berlaku atas dirinya melalui situasinya, dan meminta maaf juga kerana tidak sujud sahwi.

Bagaimanakah hukum solat bagi imam dan makmum tersebut iaitu menambah rukun dan atas sebab tidak sujud sahwi sebelum salam mahupun selepas salam?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, apabila imam menambah rukun atau perbuatan di dalam solat dalam keadaan dia terlupa dan tidak disengajakan, sebagaimana yang dinyatakan, maka solatnya adalah sah.

Begitu juga bagi makmum yang tidak menyedari akan kesalahan imam dan mengikutnya, maka solatnya adalah sah. Walau bagaimanapun, bagi makmum yang menyedari kesalahan imam dan mengetahui akan tidak sahnya solat imam, maka tidak harus baginya mengikuti perbuatan imam. Mengikuti perbuatan imam dalam keadaan makmum tahu dan pasti akan tidak sahnya solat imam, maka solatnya tidak sah. Dalam keadaan seperti ini, makmum yang menyedari akan tidak sahnya solat imam, baginya 2 pilihan. Pertama, berniat mufarraqah iaitu keluar daripada mengikuti imam. Kedua, pada rakaat kedua, yang mana imam tidak membaca surah al-Fatihah, makmum duduk pada tahiyyat akhir dan menunggu imam sehingga imam duduk tahiyyat akhir dan memberi salam selepas imam memberi salam. Namun, makmum perlu memastikan bahawa rakaat itu sempurna, iaitu antara membaca surah al-Fatihah.  

Berkaitan bacaan doa Qunut, ia adalah sunat ab'ad yang mana apabila ditinggalkan dengan sengaja atau terlupa disunatkan untuk sujud sahwi. Oleh itu sekiranya imam meninggalkan sujud sahwi walaupun dengan sengaja, maka ia tidak membatalkan solatnya. Sebagai makmum, apabila imam melakukan sujud sahwi, maka wajib baginya untuk melakukan sujud sahwi. Namun sekiranya imam meninggalkannya, maka tidak perlu bagi makmum untuk melakukannya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 51

message user image