Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya seorang menantu perempuan. Ibu mertua banyak menyinggung perasaan saya sejak awal perkahwinan oleh disebabkan mulutnya dan perbuatan nya terhadap saya. Saya pernah duduk dengan ibu mertua masa awal perkahwinan sehingga melahirkan anak. Dalam tempoh itu banyak pekara yang saya memendam rasa atas perbuatan2 dia yang saya sendiri tak tahu sama ada ia pekara yang disengajakan atau diluar kesedaran dia. Sehingga lah pada tahun 6 perkahwinan ibu mertua maklumkan pada suami untuk berpindah duduk bersama mereka atas sebab masalah kewangan kami pada masa itu. Suami hanya ceritakan apa yang dah diberitahu oleh mereka kepada saya dan atas dasar kata sepakat kami buat keputusan masih berdiri atas kaki sendiri. Selang seminggu ibu mertua mesej saya untuk suruh pindah segera. Ibu mertua berbagikan berbagai cadangan itu dan ini untuk kami segera berpindah. Dan minta suami jelaskan kepada org tua nya keadaan yang sebenar supaya mereka lebih faham. Dan ibu mertua tak perlu mesej saya lagi untuk memujuk dan berikan tekanan pada saya dalam kehidupan seharian. Tapi setelah selesai ibu mertua masih lagi memujuk suami Sejak dari itu saya rasa had saya sudah sampai sini .Saya dah terlalu berlembut. Selama ni segala apa katanya mesti nak dituruti. Jadi hampir setahun saya menjauhkan diri bila bersua muka saya hanya bersalam dan bertanya kabar sekadar itu sahaja. Ibu mertua kerap mesej suami untuk mengadu atas perbuatan zalim saya kepadanya katanya saya dah tak macam dulu lagi. Dah kali ketiga saya bertengkar dengan suami hal ini. Suami dah sedia maklum hati saya masih kecewa dan tawar atas segala perbuatan ibunya. Sehinggakan saya ajak suami untuk pergi kaunseling. Sbb saya rasa saya amat memerlukan nasihat dari orang yang lebih tahu. Atau saya dapat perbaiki diri saya yang terlalu berdendam. Setiap kali teringat segala kata kata n perbuatan dia saya cuba maafkan dan bermohon supaya Allah lembutkan hati ini untuk berbaik semula. Tapi tak semudah yang dijangkakan. Jadi apa yang perlu saya buat? Boleh ke berikan sedikit pandangan dan nasihat untuk diri saya. Terima kasih. Assalamualaikum.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Apabila kita berkahwin dengan pasangan kita, maka secara tidak langsung kita akan mempunyai ibu dan bapa mertua.Taraf dan penghormatan kita terhadap ibu bapa mertua ini sama seperti ibu bapa kita sendiri dan ada tanggungjawab yang kita perlu laksanakan kepada mereka. Mereka wajar dihormati sepertimana kita menghormati ibu bapa kita sendiri.
Memang benar, bagi sesetengah pasangan, permasalahan hubungan antara menantu dan mertua seringkali menjadi punca timbulnya konflik antara suami dan isteri. Meskipun pada zaman ini ramai dalam kalangan pasangan yang telah berkahwin tidak tinggal serumah dengan mertua, namun hal tersebut bukan bererti bahawa masalah menantu dan mertua tidak lagi terjadi. Apatah lagi kalau tinggal serumah bersama mereka, sudah pasti ruang untuk berlakunya salah faham itu terbuka luas. Ada juga mertua yang cerewet dan selalu mencampuri urusan rumah tangga anak-anak mereka sehingga anak menantu bercerai berai dan sebagainya.
Melihat kepada permasalahan yang puan nyatakan, pada dasarnya penyelesaian sesuatu masalah adalah bergantung pada diri kita sendiri. Kitalah yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Namun dalam Islam, kita boleh juga merujuk atau mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak yang berautoriti seperti Bahagian Undang-Undang Keluarga di Pejabat-pejabat Agama Islam Daerah, kaunselor berdaftar atau mana-mana agensi yang berbidang kuasa. Walau bagaimanapun, akhirnya kembali kepada pasangan untuk membuat keputusan, manakah pandangan yang terbaik untuk mereka ambil bagi merungkai permasalahan yang mereka hadapi.
Apa yang penting dalam melayari bahtera rumahtangga ini, beberapa perkara penting boleh diambil bagai menjadi panduan kepada pasangan suami isteri :
a) Bermusyawwarah atau berbincang
Amalan berbincang ini dapat menatijahkan solusi atau keputusan yang lebih baik, tepat. Ini kerana kebiasaanya keputusan yang dibuat mengikut pandangan ramai lebih baik daripada pandangan hanya seorang individu. Libatkanlah mana-mana orang yang berilmu, berkemahiran, berkecuali dan dihormati oleh kedua-dua pihak sebagai orang tengah, ini bagi memastikan perbincangan tersebut lebih neutral dan terpandu dengan panduan-panduan syarak dan kebenaran..
b) Bertolak ansur atau toleransi
Kedua-dua pihak samada menantu dan mertua mestilah berusaha mengaplikasikan sikap tolak ansur dalam sebarang urusan rumahtangga. Sikap tolak ansur sangat penting dalam kehidupan berumahtangga, justeru tidak menjadi kesalahan jika suami isteri atau ibu bapa mertua berkongsi pendapat dan meluahkan perasaan masing-masing dengan terbuka. Pendapat dan perasaan pasangan perlu diambil kira dalam membuat sebarang keputusan, agar tiada pihak yang berkecil hati dan kecewa dengan sebarang solusi yang diambil pasangan.
c) Doa dan munajat kepada Allah
Doa adalah memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Setiap apa yang kita inginkan, impikan dan mengharapkan, memohonlah dan berdoalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segalanya. Allah amat menyukai apabila hamba-hambanya berdoa walaupun sekecil-kecil perkara. Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Ghafir ayat 60:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya : Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan merendahkan diri.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 142