BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

ASSALAMUALAIKUM WBT,

 

APAKAH HUKUM PERCERAIAN FAST TRACK YANG DIPERKENALKAN DI NEGERI SELANGOR?

ADAKAH TERDAPAT PENDAPAT ATAU HUJAH KONTEMPORARI YANG MEMBENARKAN SISTEM PERCERAIAN MELALUI JALAN PANTAS INI?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Kewujudan proses kerja kes cerai secara "fast track" yang diperkenalkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) pada tahun 2015 bukan proses yang diwujudkan semata-mata untuk menyelesaikan kes cerai dengan sewenang wenangnya tanpa perlu melalui langkah-langkah yang sewajarnya berdasarkan kehendak hukum syarak.

Sebelum sesuatu pasangan suami isteri datang ke Mahkamah untuk memfailkan kes cerai, pasangan ini pada kebiasaannya akan berjumpa dengan Pegawai Runding Cara Keluarga di Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik rumah tangga yang dihadapi oleh mereka. Pemfailan kes di Mahkamah Syariah hanya dibuat setelah usaha melalui rundingcara ini gagal untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.

Sebenarnya, pewujudan proses kerja kes cerai secara "fast track" adalah bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan Mahkamah Syariah Selangor yang mendakwa bahawa mahkamah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan kes-kes cerai di Negeri Selangor.

Pewujudan proses kerja ini adalah satu prosedur operasi standard (SOP) yang dibangunkan oleh JAKESS bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengendalian kes-kes cerai yang difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa sehingga 90 hari untuk diselesaikan.

Pemakaian proses kerja kes cerai secara "fast track" ini perlu memenuhi syarat-syarat seperti berikut:

(a) Dokumen telah lengkap;

(b) Suami isteri hadir di mahkamah;

(c) Wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik dan harmoni;

(d) Isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut; dan

(e) Mahkamah berpuas hati bahawa telah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan.

Melalui proses kerja ini, kes pasangan suami isteri yang telah bersetuju untuk bercerai akan diselesaikan dalam tempoh 6 jam daripada masa pemfailan kes dan mereka akan menerima Perintah bertulis bermeterai mahkamah dalam tempoh masa tersebut untuk dikemukakan kepada Jabatan Agama Islam Selangor bagi tujuan pengeluaran Sijil Cerai.

Kesan inisiatif ini dilihat telah memudahkan bagi sesuatu perkahwinan yang telah pecah belah untuk pasangan bercerai  secara baik selaras dengan Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 229 :

اَلطَّلَاقُ مَرَّتٰنِ ۖ فَاِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوْفٍ اَوْ تَسْرِيْحٌۢ بِاِحْسَانٍ

Yang bermaksud:  Talaq (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia (ruju’ dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikannya) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikannya) dengan cara yang baik.

Secara tidak langsung ia juga dapat mengurangkan masalah wanita yang mendakwa diri mereka telah “digantung tak bertali”.

Proses kerja ini sebenarnya telah menjimatkan masa dan kos pihak yang terlibat dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain, sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 116

message user image