BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Semasa puasa, saya cukur misai dan janggut menggunakan krim pencukur. Kemudian semasa ingin membersihkan krim tersebut, tanpa sengaja air masuk hidung dan kemungkinan hingga tekak. Adakah puasa saya batal? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, air yang masuk ke dalam hidung dengan tidak sengaja disebabkan membersihkan krim pencukur tidak membatalkan puasa walaupun tertelan atau masuk sehingga ke rongga mahupun tekak. Ini kerana ia bukan perkara yang kebiasaan air akan masuk dengan perbuatan mencukur.

Berbeza pula jika situasi yang memungkinkan air masuk ke dalam rongga seperti mandi, berkumur-kumur atau memasukkan air ke dalam hidung. Berdasarkan kitab al-Taqrirat al-Sadidah, jika seseorang itu mandi dan mandi tersebut terdapat tuntutan syarak seperti mandi wajib atau mandi sunat, maka air yang mengalir lalu masuk ke dalam rongga dengan tidak sengaja tidak membatalkan puasa. Walau bagaimanapun, jika mandi tersebut bukan mandi yang dituntut oleh syarak seperti mandi menyejukkan badan, maka puasanya batal walaupun air masuk secara tidak sengaja.Begitu juga keadaannya mereka yang berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa. Jika ia dituntut syarak seperti kumur-kumur ketika berwuduk maka ia tidak membatalkan puasa jika tertelan, melainkan dengan sengaja berlebih-lebihan dalam berkumur-kumur. Jika ia tidak dituntut syarak maka ia membatalkan puasa.

Adapun ragu-ragu air masuk ke dalam rongga atau tidak maka ia tidak membatalkan puasa. Ini kerana pada syak atau ragu-ragu tidak menghilangkan keyakinan berpuasa.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 54

message user image