BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz.

Saya sedang mempelajari bidang kejuruteraan elektrikal di universiti. Saya hendak menggunakan buku teks untuk membuat latihan tetapi buku teks yang dijual adalah mahal. Jadi, persoalan saya adalah yang sedimikian :

1) Adakah saya berdosa sekiranya saya memuat turun buku teks dengan bertujuan untuk belajar daripada laman sesawang yang memperoleh buku teks tersebut secara tidak sah(illegal)?

2) Adakah saya berdosa sekiranya buku teks tersebut saya mengkongsikan bersama rakan saya? Dan sekiaranya saya berdosa, apakah cara untuk saya bertaubat?

3) Adakah pendapatan saya haram selepas saya habis belajar disebabkan ilmu pengetahuan saya berasaskan dari buku teks tersebut?

4) bagaimanakah caranya untuk saya bertaubat dan sekiranya saya bersalah, perlukah saya membeli semua buku teks yang telah saya memuat turun secara tidak sah tersebut setelah saya bekerja?

Saya harap ustaz/mufti dapat memberikan pencerahan dan penjelasan yang jelas bagi  soalan - soalan saya. 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan soalan ini:

1) Memuat turun buku teks atau apa-apa bahan yang mempunyai hak milik adalah tidak dibenarkan melainkan dengan izin pemilik lebih-lebih lagi bahan tersebut adalah untuk jualan. Hukumnya adalah haram kerana mengambil hak orang lain tanpa izin. Sebagai alternatif, saudara boleh meminta daripada orang lain yang memiliki bahan tersebut atau meminjam bahan-bahan yang ada di dalam perpustakaan yang boleh dipinjam secara percuma. 

2) Saudara dilarang daripada berkongsi buku teks tersebut kepada orang lain. Kaedah Fiqah ada mengatakan:

ما يحرم أخذه يحرم إعطاؤه

Maksudnya: Apa yang haram untuk diambil, maka ia haram untuk diberikan (kepada orang lain).

Cara untuk bertaubat daripada perkara tersebut adalah dengan menyesali perbuatan yang dilakukan, meninggalkan perbuatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya kembali.

3) Pembelajaran yang terhasil melalui jalan-jalan yang syubhah atau terdapat perkara terlarang yang dilakukan dalam proses pembelajaran, sesungguhnya ia boleh mempengaruhi keberkatan sesuatu ilmu. Walau bagaimanapun, ia tidak mempengaruhi status pendapatan yang diperoleh setelah tamat belajar. Selagi mana pendapatan tersebut diperoleh dengan cara yang halal dan melalui jalan yang mematuhi syariat, maka rezeki tersebut adalah halal.

4) Saudara boleh menghubungi pihak syarikat dengan menyatakan perkara sebenar dan meminta kemaafan darpada mereka. Seandainya sukar untuk dihubungi, membeli semua buku teks yang pernah dimuat turun secara tidak sah adalah antara solusi yang baik.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 77

message user image