BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Di sini saya ingin bertanya tentang kemusykilan saya mengenai bekerja sebagai perundung hartanah . Umum mengetahui bahawa pekerjaan ini melibatkan urusan pinjaman bank dan sebagainya . Secara khususnya perunding hartanah ni bukanlah orang yang memproses dan meluluskan pinjaman sesorang itu , perunding hartanah hanyalah orang yg memudahkan urusan mereka utk memohon pinjaman dari mana mana pihak bank . Persoalannya di sini , adakah pekerjaan ini berkat dan gaji komisyen yang diterima dari pemilik asal rumah halal disebabkan kita yang membantu pemilik baru mendapatkan pinjaman bank? Ini kerana sejak akhir akhir ini banyak saya lihat perdebatan di media sosial mengatakan bank bank yang memberikan islamic financing ini jugak sama seperti bank konvensional yang memberikan pinjaman secara riba . Adakah benar perkara itu ? Dan bagaimana pula hukum jika membantu orang bukan islam yang menggunakan pinjaman konvensional?


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya berkhidmat sebagai seorang perunding hartanah adalah suatu pekerjaan yang diharuskan dan hasil atau upah daripada memberi perkhidmatan tersebut adalah dibenarkan selagi mana tidak melibatkan sesuatu yang menyalahi undang-undang mahupun melanggar hukum syarak. 

Adalah tidak benar mengatakan bahawa perbankan Islam sama seperti perbankan konvensional yang mengenakan riba di dalam memberi pinjaman kepada pelanggan mereka. Ini adalah kerana akad atau kontrak yang digunakan oleh perbankan Islan adalah berbeza dengan kontrak yang digunakan oleh perbankan konvensional. Secara ringkas, sebagai contoh, akad yang digunakan oleh perbankan Islam adalah akad jual beli atau sewaan sedangkan perbankan konvensional mengunakan akad pinjaman.   

Adapun membantu orang lain walaupun orang bukan Islam mendapatkan pinjaman bank secara konvensional adalah dilarang kerana bank konvensional menjalankan urusniaga berasaskan riba' yang diharamkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Begitu juga dengan sepotong hadis yang diriwayatkan daripada Jabir RA:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ آكِلَ الرِّبَا وَمُؤْكِلَهُ وَكَاتِبَهُ وَشَاهِدَيْهِ وَقَالَ هُمْ سَوَاءٌ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat orang yang memakan harta riba', orang yang menjadi wakilnya (orang yang memberi makan hasil riba'), orang yang menuliskan dan dua orang yang saksinya, (dan selanjutnya), Nabi bersabda, mereka itu semua sama saja. (Riwayat Muslim)

Di samping itu juga, Islam melarang membantu atau menolong orang lain di dalam perkara dosa dan kemaksiatan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

Ayat di atas secara umum melarang orang Islam membantu orang lain, sama ada Islam atau bukan Islam, dalam perkara yang dilarang oleh syariat. Oleh itu, membantu orang bukan Islam mendapatkan pinjaman dari bank konvensional adalah turut dilarang. Sebagai alternatif cadangkan kepada mereka untuk mendapatkan pembiayaan dari perbankan Islam bagi memastikan keberkatan rezeki yang diperolehi.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 177

message user image