BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

SALAM

SAYA ADA PERTANYAAN

SAYA ADA MEMBELI EMAS MENGUNAKAN DUIT SHUBHAH/HARAM(FOREX) 

KEMUDIANN SAYA MENCAGARKAN EMAS TERSEBUT DAN MENDAPAT PINJAMAN DARI BANK(HALAL) UNTUK MEMULAKAN PERNIAGAAN YG HALAL

SOALAN SAYA APA STATUS HUKUM PERNIAGAAN SAYA TERSEBUT ADAKAH HALAL?

KERANA MENGGUNAKAN DUIT PINJAMAN BANK HASIL DARI CAGARAN EMAS TERSEBUT?

T.KASIH

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 


Merujuk kepada soalan yang diajukan, Forex telah dihukumkan sebagai haram dan tidak patuh syariah sebagaimana diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012. Muzakarah telah membincangkan berkenaan Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Keputusan daripada muzakarah tersebut hukum berkaitan Forex Trading ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang.

Manakala hasil atau wang daripada sumber tidak patuh syariah, seperti Forex, tidak boleh dimanfaatkan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya di serahkan untuk kebajikan umum sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 bahawa harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Justeru, wang tersebut bolehlah diserahkan ke baitulmal atau ke kaunter pungutan Lembaga Zakat Selangor yang berhampiran sebagai ejen terimaan wang yang tidak patuh syariah.

Oleh kerana itu, membeli emas menggunakan hasil tidak patuh syariah bagi kepentingan sendiri dan kemudiaannya dijadikan cagaran untuk pinjaman adalah tidak diharuskan. Walau bagaimanapun, pinjaman yang dibuat itu adalah pinjaman yang sah dan menjadi milik tuan. Namun, memandangkan pinjaman itu disandarkan kepada sesuatu yang tidak patuh syariah, dibimbangi wang pinjaman yang diperolehi tidak mendatangkan keberkatan. Begitu juga perniagaan yang dijalankan kerana melibatkan unsur syubhah.

Adalah disarankan agar tuan bertaubat kepada Allah SWT dan segera menebus kembali emas yang dicagarkan seandainya berkemampuan lalu menyerahkannya ke baitulmal. Jika tidak berkemampuan, tuan boleh menyerahkan nilai emas tersebut kepada baitulmal secara sekali gus atau secara ansur. 


والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 114

message user image