BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamuaikum, saya ingin meminta penerangan dan nasihat apa perlu saya buat di atas situasi saya sekarang. Saya seorang lelaki berumur 32 tahun belum berkahwin. Saya ada berkenalan dengan seorang wanita berumur 33 tahun dan mempunyai anak 1 lelaki. Pada permulaan kenalan kami menjalinkan hubungan seperti pasangan lain, sampai satu masa saya bersama pasangan lalai dan lupa diri dan telah melakukan dosa terlalu besar buat saya iaitu berzina bersama pasangan saya. Terlalu banyak kali saya sudah terlanjur bersama pasangan saya yang belum ada ikatan suami isteri. Selang beberapa tahun, saya mendapat berita mengejutkan bahawa pasangan saya rupanya masih berstatus isteri orang. Saya tidak sangka pasangan saya menipu diatas status beliau. Saya sangka kan sebelum itu dia seorang ibu tunggal. Akan tetapi saya sedar atas perbuatan berzina yang telah saya lakukan. Wanita tersebut telah mengaku kepada saya dimana betul dia masih isteri orang yang sah. Dalam masa yang sama suami wanita tersebut telah mendapat tahu tentang hubungan kami akan tetapi suami wanita tersebut tidak tahu kami sudah terlanjur berzina. Saya bersama wanita itu telah memutuskan hubungan. Wanita tersebut tidak berani untuk memberi tahu kepada suami disebabkan faktor jika dia memberitahu suaminya, dia risau jika suaminya tahu, dia akan diceraikan dan paling dia risaukan ialah kehilangan hak penjagaan anak. Jadi persoalan saya disini, perlukah si wanita tersebut berterus terang pada suami dia. Dan perlukah saya berterus terang juga pada suami wanita tersebut. Sebab jika wanita tersebut tidak ingin memberi tahu pasal salahlaku kami sepanjang bersama pada suaminya, saya seperti bersubahat membuat dosa besar jika saya juga tidak memberitahu kepada suami wanita itu. Saya perlukan pandangan dan nasihat dari pihak yang lebih arif . Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

 

Secara asasnya hukum berzina adalah salah satu daripada dosa besar di sisi Allah SWT selepas dosa mensyirikkan Allah SWT dan membunuh. Di dalam Islam, hukuman bagi zina adalah rejam sehingga mati bagi yang berkahwin, dan sebatan sebanyak 100 kali bagi yang belum pernah berkahwin. Hukumannya adalah amat berat memandangkan kesan buruk daripadanya juga adalah besar.

Walau bagaimanapun, dengan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah SWT kepada hamba-Nya, Allah SWT memberikan satu jalan untuk kembali kepada dengan jalan taubat. Berdasarkan Surah Al-Furqan ayat 68-71:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (68) يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (69) إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا (70) وَمَنْ تَابَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَإِنَّهُ يَتُوبُ إِلَى اللَّهِ مَتَابًا (71)

Maksudnya: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya (68) Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan (69) Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (70) Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat (71)

Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan. Maka, teruskan bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan mintalah kepada Allah SWT supaya Allah menerima taubat yang dilakukan. Menyesali atas perbuatan yang dilakukan, berhenti daripada melakukannya serta berazam untuk tidak mengulanginya kembali. Ketahuilah Allah benar-benar memberi keampunan kepada sesiapa yang memintanya.

Merujuk kepada pertanyaan saudara, sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَسْتُرُ اللَّهُ عَلَى عَبْدٍ فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat. (Riwayat Muslim)

Ini adalah salah satu antara tanda kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya iaitu Allah menyembunyikan aib hamba-hamba-Nya di dunia. Hal ini termasuk dosa-dosa yang dilakukan seseorang sepanjang hidupnya. Tiada sesiapa yang mengetahui tentang aib seseorang sehingga orang itu membongkarkannya kepada manusia yang lain. Jika seseorang telah melakukan zina dan meninggalkan dosa tersebut lalu membongkarnya maka lebih besar mafsadah (kemudaratan) yang mungkin akan berlaku kepadanya. Kesannya, akan timbul perselisihan yang besar antara suami isteri, pergaduhan antara keluarga, anak hilang rasa hormat terhadap orang tuanya, tersebar berita yang boleh menganggu ketenteraman keluarga seseorang, malah boleh membawa kepada perkara yang dahsyat iaitu berlakunya pembunuhan atas sebab dasar tidak berpuas hati atas kesalahan itu. Dari itu, tidak disarankan bagi saudara serta wanita itu untuk memberi tahu kepada suaminya mengenai kejadian tersebut. 

Dinasihatkan kepada wanita itu untuk berusaha sehabis baik untuk mengantikan perasaan serba salah atas kesalahan yang berlaku dengan melakukan ketaatan yang lebih kepada Allah dan juga suaminya. Selain itu, bermohonlah kepada Allah untuk dikurniakan kekuatan dan istiqamah untuk terus bertaubat dan menjadi hamba Allah yang solehah di dunia dan di akhirat. Moga dengan usaha murni itu, Allah SWT menambah sakinah, mawaddah dan rahmat serta keadaan rumah tangga yang lebih lapang dan harmoni dan lebih baik daripada sebelumnya. Firman Allah SW  dalam Surah Al-Nisa ayat 100:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا 

Maksudnya: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kepada tuan, sesungguhnya apa yang telah tuan lakukan adalah tuan telah menceroboh kemulian serta kehormatan suami wanita itu walaupun tanpa tuan sedari. Mohonlah keampunan bagi diri tuan dan suami wanita itu, sentiasa mendoakan kebaikan serta menghadiahkan pahala amalan kebajikan untuknya. Semoga dengan kebajikan yang tuan lakukan untuknya, Allah SWT tebus kesalahan yang tuan lakukan kepadanya.

Moga Allah mengampuni dosa dan mengurniakan rahmat kepada orang yang berusaha bertaubat kepada-Nya. Diriwayatkan daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:

 كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya:Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 150

message user image