BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Saya sekarang diuji dengan masalah antara ibu ayah dan suami. Ceritanya begini, pada tahun 2016 suami telah menjual rumah, dan berjanji untuk bagi RM10k kepada saya. Namun begitu, bila ibu dan ayah saya tahu perkara itu mereka berhasrat untuk meminjam dari saya sebanyak RM12k. Cadangan saya duit RM10k tu untuk saya mulakan business kecil2 saya. Tapi bila perkara tu saya ajukan kepada suami, keputusan suami langsung taknak bagi duit tu. Saya stress setiap hari ibu datang rumah memujuk supaya bagi pinjam. Tujuan ibu nak pinjam adalah untuk bantu business ayah saya. Suami saya tak percaya dengan ayah saya. Sebab business ayah saya tak pernah menjadi dn melibatkan banyak kerugian. Saya buntu. Setiap hari saya pujuk suami sehinggalah dia bersetuju bagi RM6k sahaja. Tapi lepas bagi RM6k ibu masih datang setiap hari kerumah saya untuk pinjam lagi sebab duit tak cukup. Saya merayu dengan ibu yang saya mampu bagi RM6k sahaja. Selebihnya memang tak dapat. Saya tak bekerja, semua pendapatan adalah dari suami. Namun atas desakan ibu setiap hari, saya tak mampu. Saya tewas dan serahkan kesemua barang kemas saya untuk digadai bagi memenuhi kehendak mereka tanpa pengetahuan suami. Kerana ibu dan ayah berjanji dalam masa 2 minggu akan tebus kembali barang kemas saya. Ibu juga pesan jangan bagitahu suami pasal barang kemas yang dipinjam. Saya pun pakej berbohong pada suami kata kesemua barang kemas saya simpan dalam bank takut orang renovate rumah ni semua indon, jahatkan saya. Terang2 bohong suami untuk kebahagiaan ibu ayah saya. Suami awal2 lagi dah pesan yang dia tak izin saya bagi lagi apa2 bantuan pada ibu ayah saya, cukuplah sekadar RMa6k sahaja yang dia mampu tolong. Tapi modal untuk business saya dia takkan bagi dah lepas ni. Sebab selebihnya dia nak guna utk buat renovate rumah. Dan barang kemas saya untuk simpanan andai berlaku emergency. Saya tahu suami memang marah waktu ibu desak supaya bagi pinjam duit. Suami saya ni baik, tak pernah abaikan saya. Bertanggungjawab pada saya dan anak2. Saya pun tak salahkan dia 100 peratus sebab dia dah bagi pinjam rm6k pun saya dh lega. Kuasa Allah pada bulan 7, 2017 ayah saya pergi mengadap Ilahi secara mengejut. Allah perasaaan saya amatlah terkejut. Lepas pengebumian seminggu lepas tu suami telah bercakap dengan ibu yang dia halalkan RM6k tu. Dan saya fikir mood suami okay baru saya cerita perihal barang kemas saya. Suami saya meradang kerana semua yang dibeli tu untuk saya dan dia kecewa kerana saya tak taat dengan dia. Selepas kejadian tu suami saya layan saya dgn kasar. Bercakap mesti perli saya derhaka. Duit poket pun dah tak bagi. Semua dia kawal sendiri. Hanya beli barang keperluan dapur dan suami cakap dia tak maafkan perbuatan saya dan ibu ayah saya. Dia memang menangis. Allahhu. Apakah nasib arwah ayah saya? Setiap hari saya menangis fikir hal ini. Suami pun dah tawar hati dengan saya kerana membelakangkan dia kerana ibu ayah saya. Saya menyesal sebab tak dengar kata suami. Dalam masa yang sama saya kesian ibu ayah saya. Berdosakah saya membantu ibu ayah saya. Sampai hari ini suami memang berdendam dengan ibu saya kerana mendesak2 saya utk gadaikn barang kemas. Untuk pengetahuan ustaz/ustazah, barang kemas saya lebur. Semua simpanan dan aset saya habis saya bagi pada ibu ayah saya. Sedangkan diri kami pun susah sekarang tak ada apa2 simpanan. Tolong saya. Saya tersepit dalam dilema ibu ayah dan suami. Sekarang suami marah kalau saya pergi rumah ibu. Kerana sepatah perkataan maaf tak pernah keluar dari ibu saya kepada suami. Dia lagi marah2 kami ada. Ibu saya penting diri kata suami saya. Dulu saya susah tak peduli pun dengan kami. Time senang dia lah setiap hari datang rumah. Sekarang nak datang rumah saya pun tidak. Dengar cucu2 sakit langsung tak bertanya khabar. Ibu tinggal dengan abang dan adik lelaki. Namun selepas jual mesin kerja ayah dan lori ayah abang lari tinggalkn ibu dengan duit2 sekali. Adik lelaki pula ditimpa musibah excident bulan 7, 2018 hari tu dan tak boleh bekerja kerana patah kaki. Saya kesian dgn ibu saya, tapi saya tak mampu nak bantu ibu dgn kewangan. Ayah memang tak tinggalkan apa2 harta pada ibu. Socso, KWSP insurance pun tak ada sebab dia kontraktor bekerja sendiri. Adik perempuan saya pun susah kerana tanggung hutang arwah. Saya nak kerja suami tak izinkan. Macam mana saya nak jaga 2 hati yang sangat saya sayangi.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, memang berat masalah yang puan hadapi. terimalah ia sebagai ujian Allah SWT. Dengan kata lain teguran Allah SWT yang banyak mengandungi “hikmah” yang tersembunyi, kerana Allah Maha Adil. Allah SWT tidak sekali-kali menzalimi hambaNya, tetapi hambaNya (manusia) yang menzalimi dirinya sendiri. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Yunus : 44) Dari segi hukum dan tanggungjawab seorang anak perempuan memang wajib taat kepada ibu bapa terhadap perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan agama. Oleh itu, sekiranya mereka menyuruh kepada perkara yang menyalahi agama, maka tidak wajib taat lagi. Selain itu, jika sudah mendirikan rumahtangga, ketaatan utama isteri ialah kepada suami, di mana melalui ijab kabul semasa pernikahan membawa erti penyerahan tanggungjawab juga ketaatan kepada suami. Puan sepatutnya lebih mentaati suami, lebih-lebih lagi suami puan merupakan seorang yang baik dan sangat bertanggungjawab. Suami puan berubah disebabkan tindakan puan sendiri yang berpunca daripada ibu puan yang telah bertindak “mengganggu” kerukunan rumahtangga puan. Puan perlu pulihkan balik hubungan dengan suami, utamakan suami. Kembalikan keyakinanya. Bina hidup baru. Ini tidak bermaksud abaikan ibu. Berikan kasih sayang sepenuhnya dan bantu mereka sekadar upayanya dengan tidak membelakangkan suami. Ambillah iktibar dan belajarlah daripada pengalaman dan kesilapan yang puan telah lalui. Jadilah orang yang beriman, sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Shuhaib RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ Maksudnya : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 269

message user image