BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

salam

saya ada soalan

sy ada emas dibeli dngan duit shubhah/haram

kemudia sy cagarkan emas tersebut untuk dptkan pinjaman

soalan sy ada adakah duit yg diberi  pinjam pada sy tersebut menjadi haram?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Terdapat dua isu pada soalan yang diajukan. Isu pertama adakah sah jual beli dengan duit atau sumber yang haram/syubhah? Isu kedua adakah sah urusan gadaian yang dilakukan?

Isu pertama: urusan Jual beli dengan menggunakan duit atau sumber yang haram adalah tidak sah dan terbatal jual beli tersebut. Hal ini kerana disyaratkan pada harta atau sumber  tersebut sebagai sesuatu harta yang diperolehi dan diharuskan oleh syarak untuk mengambil manfaat pada harta tersebut seperti yang dinyatakan dalam kitab Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu. Maka status emas tersebut adalah harta tidak patuh syariah.

Isu kedua: urusan gadaian juga tidak sah dan terbatal kerana menggadai atau mencagar daripada sumber harta tidak patuh syariah. Hal ini berdasarkan kaedah setiap yang harus dijual belii maka harus digadaikan, setiap yang tidak harus dijual beli maka tidak harus digadaikan. Maka duit pinjaman daripada gadaian itu juga dikategori sebagai harta atau wang tidak patuh syariah. 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, hasil atau wang daripada sumber tidak patuh syariah tidak boleh dimanfaatkan untuk kepentingan peribadi seperti membeli barang keperluan, perhiasan, emas dan sebagainya. Sebaliknya ia perlu diserahkan untuk kebajikan umum sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 bahawa harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti ribagharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Justeru itu, wang tersebut bolehlah diserahkan ke baitulmal atau ke kaunter pungutan Lembaga Zakat Selangor yang berhampiran sebagai ejen terimaan wang yang tidak patuh syariah.

Oleh kerana itu, membeli emas menggunakan hasil tidak patuh syariah bagi kepentingan sendiri dan kemudiaannya dijadikan cagaran untuk pinjaman adalah tidak diharuskan. Walau bagaimanapun, pinjaman yang dibuat itu adalah pinjaman yang sah dan menjadi milik tuan. Namun, memandangkan pinjaman itu disandarkan kepada sesuatu yang tidak patuh syariah, dibimbangi wang pinjaman yang diperolehi tidak mendatangkan keberkatan kerana ia melibatkan unsur yang haram atau syubhah.

Seandainya perkara itu telah berlaku, maka bertaubatlah kepada Allah SWT dan segera menebus kembali emas yang dicagarkan seandainya berkemampuan lalu menyerahkannya ke baitulmal. Jika tidak berkemampuan, tuan boleh menyerahkan nilai emas tersebut kepada baitulmal secara sekali gus atau secara ansur. 

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 86

message user image