BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

salam 

sy nak bertanya

sy seorang pemandu grabcar pernah satu ketika kereta sy rosak dan sy membaiki kereta tersebut mnggunakan duit haram soalan sy adakah membawa grabcar menjadi haram  kerana sy telah baiki kereta tersebut dengan duitbygbharam.t.kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Dalam Islam sememangnya umat Islam perlu memastikan sumber pendapatan yang diperolehi dengan jalan yang mematuhi kehendak Syarak. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, menggunakan wang haram untuk membaiki kereta adalah suatu perbuatan yang dilarang oleh syarak dan berdosa. Ini adalah kerana wang haram atau wang yang tidak patuh syariah tidak boleh digunakan untuk kepentingan sendiri sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 bahawa harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti ribagharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

1. Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

2. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut tidak menjadikan hasil daripada penggunaan kereta tersebut menjadi haram. Namun dikhuatiri ia boleh menghilangkan keberkatan pekerjaan serta pendapatan yang diperolehi daripada penggunaan kereta tersebut.

Apa yang perlu dilakukan adalah bertaubat kepada Allah SWT, menyesali terhadap perbuatan yang dilakukan serta berazam untuk tidak mengulanginya. Sekiranya wang haram itu berkaitan dengan hak orang lain, maka ia perlu diganti atau meminta kemaafan daripada pemiliknya. Sekiranya wang haram itu tidak melibatkan hak orang lain, maka ia perlu ditebus dengan menyerahkan nilai wang haram yang digunakan kepada pihak baitul mal secara sekali gus seandainya berkemampuan atau secara ansuran jika tidak mampu.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 70

message user image