BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Pada 27/3/2024 saya dan suami telah berselisih faham dan saya telah menuduh suami mempunyai hubungan dengan wanita lain kerana saya pernah ternampak suami melihat foto seorang wanita dan juga suami juga ada membalas mesej dengan wanita tersebut, tetapi suami saya marah dan menafikan.Pada waktu itu suami telah menghantar mesej rakaman suara mengatakan menyuruh saya membuktikan yang dia mempunyai hubungan dengan perempuan lain, dia menyatakan jika terbukti dia ada hubungan dengan perempuan lain maka jatuh talak 1 terhadap saya dan suami mengulang perkataan akan menjatuhkan talak 1 sebanyak 3 kali kepada saya jika terbukti dia mempunyai hubungan dengan wanita lain. Adakah talak itu dianggap sah dan adakah telah jatuh talak ke atas saya walaupun suami mengatakan talak akan jatuh jika dia mempunyai hubungan dengan perempuan lain. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab persoalan yang diajukan, ucapan suami kepada isteri: "Jika terbukti aku ada hubungan dengan perempuan lain maka jatuh talak 1" tidak menyebabkan jatuh talak secara serta merta. Ucapan itu boleh dianggap sebagai lafaz talak taklik. Talak taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Dalam kes puan, sekiranya terdapat bukti bahawa suami puan ada membuat hubungan dengan perempuan lain, maka ketika itu talak akan berlaku. Selama bukti itu tidak dijumpai, hubungan perkahwinan antara puan dan suami adalah sah.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan pandangan serta pengesahan lebih lanjut, puan boleh merujuk kepada kepada Mahkamah Syariah berhampiran sebagai pihak yang berautoriti menentukan sama ada sesuatu lafaz ini boleh membawa kepada berlaku talak taklik atau tidak. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 80

message user image