BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan, apakah hukumnya jika pada mulanya kita merasa was-was atau syubhah terhadap status berus yang digunakan dalam masakan dari bulu haiwan atau tidak, kemudian kita mendapat tahu yang berus tersebut halal dan bukan berasal dari bulu haiwan, bolehkah kita memakan makanan tersebut walupun pada awalnya kita was-was?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Mencari dan memilih makanan yang halal adalah tanggungjawab bagi setiap orang Islam. Begitu juga tuntutan untuk meninggalkan perkara mahupun makanan yang meragukan kehalalannya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abi Talib, cucu Rasullulah SAW, berkata: Aku telah menghafaz dari Rasulullah SAW (sabdanya iaitu):

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ

Maksudnya: Tinggalkanlah barang yang meragukan engkau, kepada apa yang tidak meragukan engkau.  (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

Terdapat juga hadis yang menyuruh menjauhkan daripada perkara syubhah daripada Al-Nu'man bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya yang halal itu nyata (jelas) dan yang haram itu pun nyata (jelas), dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang syubhah (kesamaran), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang syubhah, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara syubhah jatuhlah ia kedalam yang haram. (Riwayat Muslim)

Merujuk kepada soalan yang diajukan, memakan makanan tersebut adalah harus dan halal. Ini adalah kerana telah dapat dipastikan akan kehalalan makanan tersebut walaupun pada asalnya waswas atau ragu akan kehalalannya. 

والله أعلم بالصواب

 

 

 

 

 

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 53

message user image