Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bersumpah atas nama Allah kepada kawan saya untuk berhenti merokok selam 3 bulan. Jika saya melanggar sumpah ini saya dikenakan membayar RM 300 kepadanya. Sah atau tidak sumpah ini? Jika saya melanggar nya apa perlu saya buat. Terima Kasih.
Jawapan
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan,apa yang diucapkan oleh saudara dianggap sebagai nazar dan ia adalah sah. Nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syarak (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Dalam kes saudara, saudara telah mengaitkan berbuat qurbah (iaitu memberi hadiah/sedekah RM300 kepada kawan) dengan perbuatan berhenti daripada merokok dalam tempoh 3 bulan. Perkara ini dikuatkan lagi dengan lafaz sumpah dengan nama Allah. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada saudara untuk membayar kepada kawan saudara sebanyak RM300 sekiranya saudara tidak berhenti merokok dalam tempoh 3 bulan.
Ia tidak dianggap sebagai perjudian yang haram melainkan disyaratkan kawan saudara perlu membayar kepada saudara sejumlah wang seandainya saudara berjaya berhenti merokok dalam masa 3 bulan.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 70