BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Ibu saya lahir tahun 1972. Berkahwin kali pertama pada tahun 1992 diwalikan datuk. Ibu melahirkan saya pada tahun 1993. Ibu bercerai pada tahun 1995. Ibu bernikah kali kedua di beijing di wakil walikan datuk pada tahun 1995/1996. Mendapat 5 org anak (satu meninggal sewaktu lahir dan satu keguguran). Ibu dan bapa tiri ada bernikah semula di Perak pada tahun 2004 atas nasihat pejabat agama kerana masalah pendaftaran nikah di beijing tidak didaftarkan secara betul di malaysia dan diwalikan datuk. Pada tahun 2021 ibu mendapat tahu bahawa dia bukan anak sah taraf. Datuk dan nenek telah terlanjur dan mereka bernikah semasa nenek mengandungkan ibu. Mengikut kiraan dari tarikh nikah dan tarikh lahir ibu memang tidak cukup 6 bulan. Hal ini diketahui oleh adik beradik belah nenek semasa ibu nikah kali pertama dan kedua tapi seorang pun tidak menegur mengatakan ibu tak boleh diwalikan datuk. Ibu disuruh senyap oleh nenek dan adik beradik seibunya yang telah tahu rahsia ini selama lebih 10 tahun selepas kematian datuk. Atas alasan menjaga aib nenek. Saya dan adik perempuan dpt tahu rahsia ini sebulan selepas ibu tahu pada tahun 2021. Kerana ibu dalam keadaan depresi menangguh nasib ini. Waktu itu kami berlapang dada dan tidak berfikir panjang. Tahun 2022 adik perempuan saya bernikah diwalikan bapa tiri dan kini mempunyai seorang anak perempuan. Kedua dua bapa dan bapa tiri tidak tahu tentang hal ini. Pertanyaan saya:
1. Sah atau tidak nikah ibu yg pertama dan apa status saya yg merupakan anak perempuan. Bolehkan saya nikah berwalikan bapa saya?
2. Sah atau tidak nikah ibu yg kedua dan apa status 3 org adik seibu saya  (seorang perempuan dan 2 orang lelaki)?
3. Sah atau tidak nikah adik perempuan saya yg diwalikan bapa tiri tanpa mengetahui status ibu dan apa status anak perempuannya?
4. Perlukah bapa dan bapa tiri saya tahu tentang hal ini?
5. Bolehkah kami mewarisi apa2 harta dari bapa kami?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

1. (a) Pernikahan pertama ibu puan adalah tidak sah, kerana pernikahan itu menggunakan wali yang tidak sah. Ini kerana anak tidak sah taraf hendaklah berkahwin menggunakan wali hakim atau wali raja. Walaubagaimanapun, ibu dan bapa puan tidak berdosa dan bersalah kerana mereka tidak mengetahui perkara tersebut.

    (b) Status puan adalah anak watie syubhah (الوطء بشبهة) bermaksud anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dalam perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu. Anak yang lahir daripada persetubuhan yang syubhah ini adalah dianggap sebagai anak sah taraf kepada bapa biologinya. Dia boleh dinasabkan kepada bapanya, maka dia juga adalah waris yang sah dalam hukum pusaka dan bab perwalian nikah, bapanya itu boleh menjadi wali kepada pernikahannya.

2. (a) Pernikahan kali kedua itu juga adalah tidak sah, kerana masih menggunakan wali bapa yang tidak berhak untuk menjadi pernikahannya. Dan sekiranya pernikahan ini masih wujud, maka pernikahan kali kedua ibu puan ini hendaklah dibatalkan atau difaraqkan oleh pihak mahkamah Syariah. Dan selepas difaraqkan, ibu dan bapa tiri puan bolehlah untuk bernikah semula menggunakan wali hakim.

     (b) Status 3 oarang adik seibu juga adalah anak watie syubhah (الوطء بشبهة), sepertimana keterangan di atas 1 (b).

3. Pernikahan adik perempuan seibu itu sah, kerana anak yang lahir daripada persetubuhan yang syubhah ini adalah dianggap sebagai anak sah taraf kepada bapa biologinya. Dia boleh dinasabkan kepada bapanya, maka dia juga adalah waris yang sah dalam hukum pusaka dan bab perwalian nikah, bapanya itu boleh menjadi wali kepada pernikahannya.

4, Yang perlu tahu adalah bapa tiri, kerana pernikahannya hendaklah difaraqkan oleh pihak mahkamah dan boleh bernikah semula dengan menggunakan wali hakim.

5. Anak yang lahir daripada persetubuhan yang syubhah ini adalah dianggap sebagai anak sah taraf kepada bapa biologinya. Dia boleh dinasabkan kepada bapanya, maka dia juga adalah waris yang sah dalam hukum pusaka.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 107

message user image