Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum melakukan suntikan untuk tujuan kecantikan seperti PRP, Vitamin C dan seumpamanya? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, mengambil suntikan tersebut untuk tujuan kecantikan hukumnya adalah tidak harus. Malah ia menjadi haram jika mengambil suntikan tersebut dengan niat untuk mengubah ciptaan Allah SWT, berhias secara berlebihan (tabarruj), menonjolkan kecantikan kepada bukan mahram di khalayak, serta kandungan suntikan itu mengandungi najis atau bahan yang diharamkan oleh syarak. Jika suntikan itu tidak mengandungi bahan yang haram sekalipun, tetapi ia beracun dan pengambilannya menyebabkan kesan yang membawa kepada kemudharatan untuk jangka pendek atau panjang, ia juga adalah dilarang. Islam melarang umatnya memudharatkan diri sendiri dengan mengambil, memakan serta menggunakan apa jua benda-benda yang boleh membahayakan dan memberi kesan yang negatif pada tubuh badan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.