BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ingin bertanya tentang harta sepencarian ibu bapa saya. 27 tahun dahulu ibu saya telah bernikah dengan lelaki lain (suami kedua) dan perkahwinan hanya bertahan selama 3 tahun sahaja dan tiada anak dari suami kedua. Sewaktu berkahwin dengan suami kedua ibu saya tidak menuntut harta sepercarian beliau dengan bapa saya dan tiada tuntutan yang lain. Ibu bapa saya tidak merujuk semula sehingga sekarang.

Perkahwinan pertama adalah dengan bapa saya selamat selama 22 tahun. Di sini saya ingin bertanya kepada Sahibus Samahah Tuan Mufti,

1)Adakah jika bapa saya meninggal dunia, ibu saya layak da berhak menuntut semua wang faraid daripada bapa saya sewaktu perkahwinan dia dengan bapa saya (dalam tempoh perkahwinan mereka itu iaitu dalam 22 tahun);

2)Bagaimana status harta tidak alih (kereta, rumah dan tanah) adakah ibu saya berhak mendapat bahagian disitu (sewaktu perkahwinan dengan bapa saya).

3)Adakah bapa saya masih perlu menafkahkan ibu saya seperti memberi duit bulanan, duit bantuan atau perkara yang melibatkan duit kepada ibu saya. Adakah salah jika bapa saya tidak membayar atau memberi duit kepada ibu saya.

4)Adakah wang pencen setelah bapa saya meninggal dunia, ibu saya berhak untuk menerimanya.

Untuk pengetahuan Sahibus Samahah Tuan Mufti, ibu saya tidak pernah memberitahu kepada bapa saya yang beliau pernah berkahwin dengan lelaki lain. 

Sewaktu ibu saya berkahwin dengan suami kedua, beliau tidak menuntut harta sepencarian dengan bapa saya ketika itu dan sehingga 2-3 tahun kebelakangan ini perkara ini ditimbulkan.

Ketika ini bapa saya kurang sihat dan saya sebagai anak sulung ingin mengetahui dari segi Hukum Allah terutama bab faraid ibu saya. Adakah dalam islam ibu saya layak menerima atau tidak.

Mohon penjelasan daripada pihak Sahibus Samahah Tuan Mufti.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan,

Merujuk kepada persoalan,

1. Seorang isteri berhak mendapat harta pusaka daripada suaminya jika si suami meninggal ketika perkahwinan masih berkuatkuasa dan sehingga berakhirnya tempoh iddah jika berlaku perceraian secara talak raj'i. Sekiranya suami meninggal dunia selepas berakhirnya tempoh iddah daripada talak raj'i, maka isteri tidak berhak mendapat harta pusaka.

2. Harta tidak alih seperti rumah dan tanah, manakala harta alih seperti kereta, wang dan perkakas rumah adalah termasuk di dalam harta pusaka jika ia milik suami. Sama ada ibu saudari berhak ataupun tidak bergantung kepada syarat di atas. Namun ia tertakluk kepada persoalan harta sepencarian yang akan dijelaskan kemudian.

3. Seseorang suami yang telah menceraikan isterinya bertanggungjawab memberikan keperluan nafkah kepada bekas isteri sehingga tamat tempoh iddahnya. Jika telah mencapai tempoh iddah bagi isteri yang telah diceraikan, maka bekas suaminya sudah tidak memikul tanggungjawab untuk memberi nafkah kepadanya, melainkan terdapat perintah daripada pihak Mahkamah. 

4. Sama ada ibu puan berhak mendapat pencen selepas kematian suami, ia tertakluk kepada undang-undang iaitu Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan tidak tertakluk kepada pembahagian harta pusaka. Sila rujuk kepada pihak berkenaan untuk maklumat lebih lanjut.

Berkaitan tuntutan harta sepencarian. Harta sepencarian bermaksud harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Ia adalah hak yang diberikan kepada pasangan suami isteri untuk menuntutnya seandainya layak berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, Syeksen Seksyen 122. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian:

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimana pun, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.

Sebarang permohonan terhadap harta sepencarian boleh di buat di Mahkamah Tinggi Syariah. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 18

message user image