Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak tanya jika suami saya hantar mesej seperti berikut " jika engkau download semua yang aku benci jatuh talak engkau". Soalan saya adakah jatuh talak jika saya tidak perasan mesej itu atau tidak ingat. Hal ini kerana saya telah download yang dia benci seperti aplikasi instagram. Tapi saya baru perasan hari ini kerana saya baru semak mesej talak beliau. Adakah sudah jatuh talak? Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Berdasarkan kepada persoalan yang dikemukakan, mesej yang dihantar oleh suami kepada puan "jika engkau download semua yang aku benci jatuh talak engkau" adalah taklik talak secara kinayah. Sekiranya suami berniat cerai, maka taklik talak itu berlaku, dan jika perkara yang ditaklikkan itu berlaku, maka talak akan jatuh. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka taklik talak tidak berlaku.
Seandainya suami ada berniat cerai, dengan maksud jatuh talak dengan sebab isteri melakukan perbuatan tersebut, maka talak akan jatuh sama ada isteri tidak tahu ataupun terlupa. Namun jika maksud daripada ucapan itu adalah untuk mencegah isteri daripada perbuatan tersebut, maka talak tidak berlaku melainkan dengan isteri mengetahui perkara tersebut dan mengingatinya.
Memandangkan pihak berkuasa menentukan berlaku taklik talak atau tidak adalah bidang kuasa Mahkamah Syariah, puan disarankan untuk melaporkannya kepada pihak Mahkamah Syariah terdekat di mana puan tinggal dengan kadar segera.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 87