BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Barang kemas ibu kepada suami telah dibahagikan tanpa mengikut faraid atau persetujuan setelah kematiannya pada tahun 2003. Pada tahun 2023, kesilapan baru disedari dan anak-anak bersetuju untuk mengumpul semula barang kemas yang telah dibahagikan 20 tahun dahulu untuk difaraidkan atau mengikut persetujuan.

Soalan 1) Bagaimana jika sebahagian barang kemas yang telah dibahagikan pada tahun 2003 itu telah dijual oleh waris dalam tempoh 20 tahun tersebut? Adakah waris perlu menggantikan semula untuk difaraidkan? bagaimana dengan nilaian yang perlu diganti kerana harga emas berubah sepamjang tempoh 20 itu.

Soalan 2: Jika warisnya lelaki dan telah menggadaikan barang kemas tersebut dalam tempoh 20 tahun itu dan isteri waris lelaki itu yang menebus kembali barang kemas itu menggunakan duit isteri sendiri, siapakah pemilik barang kemas tersebut selepas ditebus? Masih milik suami (waris lelaki) atau milik isteri?

Soalan 3: Merujuk kepada soalan 2, adakah isteri perlu memulangkan kembali barang kemas yang telah dia tebus apabila anak-anak si mati membuat keputusan untuk membahagi mengikut hukum?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan:

1) Dalam undang-undang Islam, jika sebahagian daripada harta warisan seperti barang kemas telah dijual oleh waris sebelum harta itu dibahagikan secara adil, maka mereka masih bertanggungjawab untuk menggantikannya. Apabila waris menjual harta warisan sebelum pembahagian, mereka sebenarnya menjual sebahagian dari harta yang bukan milik mereka sepenuhnya. Oleh itu, mereka masih mempunyai tanggungjawab untuk menggantikan bahagian yang telah dijual itu kepada waris yang berhak. Namun begitu, gantian emas tersebut perlu mengikuti nisbah gram emas yang telah dijual. 

2) Jika isteri menggunakan duitnya sendiri untuk menebus kembali barang kemas tersebut, ia boleh dianggap sebagai pemberian atau pinjaman kepada suaminya (waris lelaki). Dalam hal ini, isteri masih mempunyai hak untuk menuntut balik jumlah yang telah dibelanjakan untuk menebus barang kemas tersebut sebagai hutang, tetapi barang kemas itu masih menjadi hak milik suami sebagai waris lelaki kerana sifat gadaian itu tidak terjadi proses penukaran harta milik malah hanya sebagai pemegang amanah.

3) Dalam konteks ini, jika barang kemas yang telah ditebus oleh isteri menggunakan duitnya sendiri, ia masih dianggap sebagai harta warisan yang belum dibahagikan, maka barang kemas tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam harta warisan untuk dibahagikan di antara waris-waris yang berhak mengikut hukum syariat. Di samping itu, isteri waris berhak mendapat semula wang yang digunakan untuk menebus emas tersebut daripada harta pusaka yang ditinggalkan. 

Sehubungan dengan itu, kami menyarankan agar pihak puan serta ahli keluarga mendapatkan merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Bahagian Maitulmal MAIS untuk menyelesaikan isu ini dengan tepat dan lebih tuntas.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 87

message user image