Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum para ustaz, disini saya ingin bertanya. Apakah hukum kita sebagai orang Islam untuk memohon dan menerima bantuan dari pondan? Adakah kita menerima wang yang haram? Kerana sumber pondan tersebut yang diketahui umum adalah sumber perniagaan produk kecantikan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, memohon dan menerima bantuan dari pondan adalah tidak dilarang, jika diketahui bahawa sumber wang tersebut daripada perniagaan yang halal dan menepati hukum syarak. Untuk makluman, tiada istilah pondan dalam Islam. Jika pondan yang dimaksudkan itu merujuk kepada lelaki jadi perempuan atau sebaliknya, ia adalah haram. Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya: لعن رسول الله ﷺ المتشبهين من الرجل بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجل Maksudnya : “Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang perempuan yang menyerupai lelaki”. (Riwayat al-Bukhari) Tetapi, jika merujuk kepada mereka yang mempunyai dua alat kelamin (khunsa musykil), dia hendaklah memilih untuk menentukan jantina yang lebih dominan sebagai lelaki atau perempuan. Islam membenarkan bermuamalah dengan golongan tersebut. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.