BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

BOLEHKAH KAKAK MENYUSU ANAK SAUDARA TAK SAH TARAF? 

Assalamualaikum, pertanyaan ini berwakilkan sahabat saya, kakak kepada adik lelaki. 

Kisah : Isteri kepada adik lelaki melahirkan anak tak sah taraf hasil daripada mereka berdua selepas 3 bulan perkahwinan berlangsung. 

1. Bolehkah anak tak sah taraf itu bernasabkan/ber bin kan bapanya (adik lelaki tersebut) ? 

2. Bolehkah kakak/ibu (lelaki) menjadi ibu susuan untuk anak tak sah taraf demi nasab? 

3. Setelah kakak/ibu (lelaki) menjadi ibu susuan, apa hubungan & aurat di antara anak tak sah taraf dengan kakak, ibu, adik perempuan dan anak saudara perempuan (lelaki) tersebut? 

4. Setelah menjadi ibu susuan adakah anak tak sah taraf itu boleh mendapat hak perwarisan sebelah lelaki? 

 

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya (lelaki yang menyebabkan anak itu lahir), iaitu adik lelaki tersebut. Ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam fatwa Negeri Selangor bertarikh 17 Januari 2005 berkenaan Garis Panduan Mengenai Anak Tidak Sah Taraf Menurut Hukum Syara.

2. Ibu atau kakak kepada bapa biologi tersebut boleh menyusukan anak tersebut dengan memenuhi syarat-syaratnya iaitu anak susuan itu belum mencapai usia dua tahun dan anak susuan itu mestilah kenyang sebanyak lima kali secara berasingan. Ibu dan kakak tersebut boleh menjadi ibu susuan kepada anak itu, namun tidak mensabitkan nasab atau keturunan. 

3. Setelah sah kakak dan ibu (kepada adik lelaki) menjadi ibu susuan, hubungan anak tersebut dengan mereka adalah sebagai anak susuan. Hubungan mereka seperti anak dan ibu, menjadi mahram muaabbad (tidak boleh berkahwin sampai bila-bila) dan tidak membatalkan wuduk apabila bersentuhan. Begitu juga kepada semua anak kepada kakak (anak saudara adik lelaki) dan anak kepada ibu, termasuk adik lelaki tadi, menjadi adik beradik susuan kepada anak susuan tersebut. 

4. Dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i menjelaskan bahawa tidak disabitkan ke atas hukum nasab kepada anak susuan seperti hukum pembahagian harta pusaka, nafkah, wali, hak penjagaan dan lain-lain yang bersangkutan dengan hukum-hakam nasab, sama ada daripada sebelah ibu susuan atau bapa susuan (suami kepada ibu susuan). Namun, anak susuan berhak mendapat wasiat jika diberi.

Sebaliknya anak tidak sah taraf disabitkan nasabnya kepada ibu yang melahirkannya. Oleh sebab itu, anak tidak sah taraf itu adalah adik beradik seibu kepada anak-anak yang dihahirkan oleh ibu tersebut dan dia turut mewarisi harta si ibu.

Memandangkan perempuan yang melahirkan anak tidak sah taraf itu telah mengahwini lelaki yang menghamilkannya (adik lelaki), maka hubungan adik lelaki dengan anak itu adalah hubungan bapa tiri. Mereka tidak boleh berkahwin dan tidak batal wuduk apabila bersentuhan. Hanyasanya sebagai bapa tiri tidak boleh mewalikan anak tersebut, jika perempuan, di dalam perkahwinan. Jika anak itu lelaki, dia tidak boleh menjadi wali kepada anak-anak perempuan bapa tiri itu tadi. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 11

message user image