BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Jika bekerja di luar negara dan majikan tak benarkan solat fardu dan solat jumaat pada waktu bekerja untuk tempoh 6 bulan ke 2 tahun.

1-Bolehkah saya qada atau solat pada waktu habis bekerja? Terutamannya zohor, asar dan magrib.

2-Adakah saya berdosa kena tidak solat jumaat 3 kali berturut-turut kerana arahan dari majikan tidak boleh solat waktu bekerja. 

Sekian. 

Terima kasih

Zul

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, solat lima waktu merupakan salah satu daripada rukun Islam dan menjadi tiang agama. Oleh itu, perkara solat adalah perkara besar dan ia perlu diutamakan di dalam kehidupan orang Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Munafikun ayat 9:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Menurut ahli tafsir, yang dimaksudkan dengan zikrullah atau mengingati Allah adalah solat lima waktu. Oleh itu, sesiapa yang disibukkan oleh hartanya, anak-anak, keluarga, urusan perniagaan mahupun pekerjaan sehingga membuatkannya lalai dari mengerjakan solat sehingga keluar daripada waktunya, maka mereka tergolong dalam kategori orang-orang yang paling rugi. 

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya rosak (kurang atau tidak sempurna) maka dia akan rugi dan menyesal.

Menjadi kewajipan kepada orang Islam untuk menunaikan kewajipan solat pada waktunya yang ditetapkan sebagaimana  fiman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 103:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditentukan waktunya.

Seseorang tidak dibenarkan untuk meninggalkan solat melainkan dalam keadaan darurat mahupun keuzuran. Meninggalkan solat dengan sengaja tanpa sebab yang benarkan oleh syarak adalah haram dan berdosa besar.

Menjawab soalan yang diajukan: 

1. Tidak diharuskan kepada saudara untuk meninggalkan solat dengan sengaja lalu mengqada'nya pada waktu yang lain, dengan sebab arahan majikan yang melarang solat.

2. Berdosa walaupun hanya meninggalkan solat Jumaat sekali tanpa ada sebab atau keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Larangan daripada majikan bukanlah suatu keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 75

message user image