BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya mahu bertanya, apakah hukumnya jika kita mengumpat di dalam hati sahaja, tidak terlepas kepada pengeluaran perkataan. Adakah kita berdosa dan perlu juga meminta maaf kepada orang yg diumpati sepertimana kita mengumpat orang tersebut secara lisan?

Soalan kedua saya adalah adakah memadai apabila kita untuk bertaubat nasuha, melakukan amal kebaikan dgn niat utk dihadiahkan pahalanya kepada orang tersebut (org tersebut masih hidup) dan menyatakan kebaikannya di tempat kita pernah mengumpat jika kita mengumpat atau memfitnah seseorang tanpa orang tersebut tidak mengetahuinya? Kerana saya ada melihat video ceramah ustaz bahawasanya kita perlu meminta maaf terus kpd org tersebut dan terdapat juga ustaz (kebanyakkannya drpd Indonesia) menyatakan amalan spt yg sy nyatakan memadai bagi mengelak masalah permusuhan yg lebih besar.

Soalan ketiga saya adakah sy sebagai cucu dan anak kepada nenek dan ibu sy boleh mewakili mereka utk meminta maaf kpd orang walaupun mereka masih hidup?

Soalan terakhir saya, apakah hukum jika sy sebagai cucu kpd tuan rumah (rumah yg sy duduki adalah milik ibu dan nenek sy juga merupakan ahli rumah tersebut) utk menghalang drpd tetamu utk menonton televisyen dgn menyorok remot kawalan jauh dan menutup penghawa dingin sewaktu tetamu solat kerana sudah mempunyai kipas rendah utk digunakan. 

Maaf jika terlalu byk soalan yg diajukan. Moga ustaz/ustazah dirahmati Allah dan dijauhkan drpd azab kubur dan api neraka. Amin. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

Soalan pertama: Mengumpat adalah mengatakan sesuatu yang tidak disukai oleh orang yang diumpat meskipun ianya benar. Ia merupakan sesuatu yang buruk dan berdosa bahkan ianya dilarang di dalam Islam meskipun ia tidak dilafazkan firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

Berdasarkan ayat di atas larangan mengumpat termasuk di dalam perkara yang dilarang, ia mesti dielak daripada berlaku kerana jika menjadi kebiasaan ia akan merosakkan hubungan sesama muslim yang akhirnya akan menyebabkan perpecahan dan permusuhan. Meskipun tidak dilafazkan jika individu yang diumpat di dalam hati itu dikenali mohonlah kemaafan secara umum tanpa menyatakan secara spesifik umpatan tersebut. 

Soalan Kedua: Dosa mengumpat merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar, ia ada kaitan dengan hak Allah SWT dan juga hak makhluk maka pelakunya perlu bertaubat dan memohon kemaafan daripada orang yang diumpat, Allah SWT memberikan satu perumpamaan yang dahsyat kepada golongan yang gemar mengumpat ini sepertimana dalam firman Allah SWT Surah Al-Hujurat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Menurut Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Azkar, menerangkan bahawa dosa mengumpat ini melibatkan hak Allah SWT dan hak manusia. Allah SWT di dalam ayat di atas memberi peringatan kepada hamba-Nya untuk menyedari dan memperbetul keadaan dan kesalahan jika melakukannya.Oleh itu, langkah untuk mensucikan diri daripada dosa mengumpat terutama kepada dua hak ini adalah suatu perkara yang perlu difahami dan diusahakan agar diri tidak terjerumus dalam dosa mengumpat ini lagi iaitu melalui:

      1-Dari segi hak Allah SWT:

Dalam menebus dosa mengumpat ini, memohon taubat daripada Allah SWT atas dosa yag dilakukan adalah satu perkara yang utama dan wajib bagi setiap individu atas dosa yang disedari dan tidak disedari. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Tahrim ayat 8:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksud: Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha'. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang mukmin yang bersama dia, sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Wahai Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".

Disyaratkan bagi orang yang bertaubat daripada dosa mengumpat ini memenuhi hak Allah SWT melalui taubat dengan  3 syarat (i) untuk meninggalkan dosa tersebut,  (ii) menyesali perbuatan doasanya dan  (iii) berazam untuk tidak melakukannya lagi.

      2-Dari segi hak manusia:

Namun begitu, perlu diketahui bahawa dosa mengumpat ini bukan pada hak Allah SWT sahaja malah ia melibatkan hak manusia. Hal ini dapat difahami daripada penyataan Baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadis tentang keadaan dan akibat bagi manusia yang melakukan kezaliman terhadap manusia ketika di hari akhirat kelak. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا كَانَتْ لأَخِيهِ عِنْدَهُ مَظْلَمَةٌ فِي عِرْضٍ أَوْ مَالٍ فَجَاءَهُ فَاسْتَحَلَّهُ قَبْلَ أَنْ يُؤْخَذَ وَلَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ فَإِنْ كَانَتْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ حَسَنَاتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ حَمَّلُوا عَلَيْهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِمْ

Maksud: Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya. (Riwayat Al-Tirmidzi)

Imam Al-Nawawi dalam kitab Al-Azkar dan Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulum Al-Din menjelaskan lagi syarat taubat ini, bagi mereka yang hendak membersihkan diri daripada dosa mengumpat hendaklah mereka mengembalikan semula hak atas kezaliman yang dilakukan, meminta ampun dan meminta pembebasan daripada pemiliknya. Adapun jika tidak dimaafkan oleh pemiliknya maka teruskan berusaha memohon ampun kepadanya moga-moga memperoleh kemaafan dari orang tersebut.

Manakala, tentang persoalan perlu atau tidak menerangkan tentang perkara yang diumpat kepada orang yang diumpati, Imam Al-Nawawi menerangkan para ulama berselisih pendapat dalam hal ini;

  1. Sebahagian ulama mengatakan seseorang itu perlu menjelaskan perkara yang diumpati dan,

  2. Sebahagian ulama seperti imam Ibn Qayyim dan selainnya mengatakan seseorang itu tidak perlu menjelaskan perkara yang diumpatkan tersebut, cukup hanya memohon maaf sahaja kepadanya dan menyebut kebaikan-kebaikannya.

Walaubagaimanapun, jika didapati mudarat lebih besar jika menyebutkan perkara tersebut maka tidak perlu menjelaskannya adalah lebih baik. Jika orang yang diumpati itu telah meninggal dunia atau tiada, maka tidak mungkin untuk mendapatkan pelepasan daripadanya, Oleh itu para ulama berpendapat: Hendaklah (orang yang mengaku bersalah ini) memohonkan ampun untuknya, berdoa, dan banyak memperbanyak berbuat amalan kebaikan. Sesungguhnya amalan kebaikan tersebut akan menghapuskan keburukan dosa yang telah dilakukan. Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 114:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ ‎

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

Apa yang boleh lakukan juga adalah dengan menghadiahkan pahala seperti bacaan Al-Quran, sedekah dan sebagainya kepada orang yang dizalimi atau diumpat. Mudah-mudahan, dengan izin Allah, ia dapat menebus kesalahan atau dosa yang dilakukan.

Soalan ketiga: Pada asasnya memohon kemaafan merupakan tanggungjawab serta kewajipan individu yang telah melanggar hak individu lain, oleh itu ia tidak wajar diwakilkan melainkan setelah diamanahkan untuk berbuat demikian. Apa yang boleh dilakukan sebagai pihak ketiga adalah menjadi pendamai serta menasihatkan agar semua pihak terlibat saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.

Soalan keempat: Secara umum sebagai tuan rumah atau wakil kepada tuan rumah adalah menjadi kewajipan untuk melayan tetamu dengan baik dengan menunjukkan adab dan akhlak yang mulia kerana memuliakan tetamu merupakan salah satu tanda keimanan seseorang sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya. (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, jika menyorokkan remote televisyen dan remote aircond dengan niat menyakiti tetamu dan jiran maka ia adalah diharamkan. 


والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 187

message user image