BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, sy mahu bertanya, apa hukumnya kita menipu tapi tidak melibatkan harta atau kerugian kpd org lain? Sy tahu jika diceritakan menjadi aib tetapi utk mendapatkan penjelasan, sy pernah menipu mengatakan sy pergi solat sunat hari raya padahal sy tidak pergi pada hari itu. Adakah sy berdosa kpd orang yang saya tipu itu atau berdosa kpd Allah? kerana seingat sy ia nya tidak melibatkan maruah atau kerugian harta org yg saya tipu itu. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdusta adalah bercakap sesuatu perkara yang berlawanan dengan realiti sebenar. Berdusta adalah suatu dosa yang dilarang dalam Islam melainkan beberapa keadaan sahaja yang dibenarkan. Terdapat beberapa hadis daripada Nabi SAW yang menceritakan mengenai perkara ini, antaranya ialah daripada Abi Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقُ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Maksudnya: Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu: Apabila dia bercakap dia berdusta, dan apabila dia berjanji dia memungkiri, dan apabila dia diberi amanah dia telah mengkhianati. (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, sebuah hadis daripada Abdullah Ibn Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْكَذِ / بَ؛ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا

Maksudnya: Jauhilah kalian daripada sikap suka berbohong kerana berbohong akan membawa kepada perbuatan kemaksiatan, dan perbuatan kemaksiatan akan membawa ke neraka. Jika sekiranya seseorang itu sentiasa berdusta, maka kelak dia akan dicatat di sisi Allah SWT sebagai pendusta. (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, berdusta tidak terhad kepada perkara yang melibatkan kerugian harta semata-mata atau merosakkan maruah seseorang, tetapi sebarang perkara yang tidak benar yang diucapkan kepada orang lain adalah dikira berdusta dan dilarang. Biasakan diri bercakap perkara yang benar kerana bercakap benar adalah suatu sifat yang terpuji.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 9

message user image