Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum, ayah kandung dan ibu tiri saya ada mengambil anak angkat lelaki dari umurnya 2-3 bulan. Ibu tiri saya sudah pun menjadi ibu susuan kepada kanak-kanak itu. Persoalan saya, apabila adik angkat saya itu sudah besar, bagaimana batasan antara saya (kakak) dengan adik angkat saya itu?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, batasan aurat saudari dengan adik angkat itu apabila telah baligh adalah sama sebagaimana auratnya dengan adik-beradik yang mahram. Adik angkat tersebut menjadi mahram disebabkan oleh susuan apabila cukup syarat-syaratnya. Ayah kandung yang menjadi suami kepada ibu tiri yang menyusukan bayi angkat, adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut, kerana bayi tersebut telah menyusu dengan isterinya. Fatwa berkenaan perkara ini boleh rujuk ke link berikut: http://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/267-hukum-wanita-menyusukan-anak-angkat والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.