BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, apakah sy telah jatuh mengumpat apabila cthnya sy melihat pemandu kereta wanita yg kurang cekap mengendalikan kenderaannya dan berkata "Haih insan yang lemah"? Apakah seharusnya sy lakukan utk tidak mengulangi perbuatan sy itu?


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله و بركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Islam amat menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengucapkan perkataan yang baik kepada saudaranya sama ada Muslim atau bukan Islam sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Fussilat ayat 33:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّـهِ وَعَمِلَ صَالِحًا

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh.

Selain itu, Nabi SAW pernah mengingatkan setiap orang Muslim agar memelihara lidahnya daripada menyebutkan perkataan yang buruk. Daripada Abu Hurairah, Abu Ayub Al-Ansari dan lain-lain bahawa Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَسْكُتْ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka katakanlah yang baik ataupun hendaklah dia diam. (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Justeru itu, sebaiknya kita tidak mengumpat mahupun mencela orang yang kurang cekap mengendalikan kenderaan. Ini kerana kita sebagai seorang muslim diajar untuk berkata dengan perkataan yang baik bukan perkataan yang kotor. Sesungguhnya, setiap apa yang kita ucapkan kesemuanya akan dicatitkan. Jika kita ucapkan perkara yang baik maka pahalalah yang diperolehi dan begitu juga sebalik jika kita ucapkan perkara yang buruk maka dosalah yang akan kita peroleh. Ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT di dalam surah Qaf ayat 18:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Sehubungan itu, boleh sahaja ditukarkan kata-kata tersebut dengan apa sahaja jenis zikir dan inshaAllah sudah pasti dengan lafaz zikir yang diucapkan akan beroleh pahala. Seperti mengucapkan سبحان الله apabila melihat perkara yang tidak baik atau tidak disukai dan mengucapkan ما شاء الله apabila melihat sesuatu yang baik dan disukai.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 75

message user image