BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum... Mohon pencerahan... Saya dan suami dh melangsungkan rumahtangga selama 6tahun.. 6tahun tak pernah tidur rumah keluarga saya, raya pun balik tak sampai 2jam dah kene balik rumah keluarga suami dan suami pernah melarang saya membantu keluarga saya yg susah... Alasan suami adalah saya hak dia selepas berkahwin... Keluarga tidak ada hak lagi atas saya.. Sekarang ibubapa dan keluarga saya terasa hati dan tak bertegur sapa mesra dgn saya seperti dulu atas kelakuan suami... Suami juga lebihkan keluarganya sahaja berbanding keluarga saya.. Tanya khabar ibubapa saya pun susah.. Saya berniat untuk bercerai dgn suami kerana dah terlalu lama beri peluang... Saya pernah ajak suami ke kaunseling tapi ditolak dgn alasan tiada faedah.. Kalau begini salahkah tindakan saya? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Untuk makluman puan, dalam hidup berumahtangga berlakunya perselisihan faham antara suami dan isteri adalah perkara biasa dan ia juga seakan sudah menjadi asam garam dalam kehidupan rumah tangga. Namun, apa yang penting adalah bagaimana kita cuba mencari jalan penyelesaian terhadap konflik dan perselisihan faham yang berlaku itu. Apa yang pasti setiap permasalahan itu, insya Allah akan ada penyelesaiannya.

Dalam kehidupan berumahtangga, 3 perkara penting mestilah diterapkan sama ada kepada suami atau isteri iaitu:

1. Taaruf: Iaitu pasangan mestilah saling mengenali sikap, karektor dan pelbagai maklumat penting pasangan mereka. Ini bagi memastikan kita tidak terlanjur melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh pasangan kita.

2. Tafahum: Yang bermaksud persefahaman. Persefahaman ini amat penting dalam merealisasikan rumahtangga yang bahagia dan harmoni. 

3. Ta'aun: Iaitu saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apabila kita telah saling mengenali pasangan kita dan telah wujud persefahaman yang baik maka akan senanglah terbina sikap tolong menolong antara suami isteri.

Walaupun begitu, perkara ini perlukan pengorbanan kedua-dua pihak, tidak boleh hanya isteri yang menerapkan perkara ini tanpa dibantu oleh suaminya.

Oleh yang demikian,  dalam permasaalahan puan ini, suami terutamanya perlulah ada sikap toleransi atau tolak ansur yang tinggi, kerana sekiranya tiada sikap tolak ansur maka pihak yang satu lagi akan rasa tidak selesa, tertekan dan mengalami kemurungan dalam rumahtangga.

Namun, sekiranya puan merasakan konflik yang melanda itu menjadi semakin tegang, adalah disarankan meminta bantuan dari pihak ketiga yang dihormati oleh kedua suami isteri serta berwibawa sama ada dalam kalangan keluarga puan atau pasangan atau orang luar. Jika ingin lebih professional, puan boleh mendapatkan khidmat dari pihak yang berautoriti seperti pegawai Unit Undang-Undang Keluarga di Pejabat-pejabat Agama Islam Daerah atau Jabatan-jabatan Agama Islam Negeri. Dan sekiranya tindakan ini juga tidak memberi kesan, maka pilihan yang ada, puan bolehlah memanjangkan perkara ini ke Mahkamah Syariah agar hak puan sebagai isteri diadili di mahkamah.

Selain itu, banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT, agar segala tindakan yang kita lakukan dipandu oleh Allah SWT serta dapat mencari solusi yang terbaik dalam setiap apa yang berlaku itu dengan hikmah dan bijaksana. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 78

message user image