BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

1. Kadang-kadang ketika saya sendawa atau berlahak, saya dapati makanan dan minuman naik semula ke atas tekak saya. Adakah ia dianggap sama seperti muntah dan adakah ia najis?

2. Merujuk soalan di atas, ketika saya sendawa dalam solat dan dapati makanan dan minuman naik semula ke tekak saya, adakah batal solat saya?

3. Apabila basuh muntah yang ada di dalam mulut dengan berkumur, jika saya buang sisa kumur itu dalam sinki, adakah sinki itu juga bernajis?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Islam sangat menitikberatkan hal kesucian dan kebersihan terutamanya ketika melakukan ibadah. Ini kerana, kebersihan melambangkan keteguhan iman seseorang kepada Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

الطُّهورُ شطْرُ الإيمانِ

Maksudnya: Bersuci itu separuh daripada iman.

(Riwayat Muslim)

1. Merujuk kepada soalan yang diajukan, sendawa atau berlahak yang menyebabkan makanan dan minuman keluar kembali dari mulut adalah najis. Ia sama seperti muntah kerana berasal dari perut walaupun sudah berubah sifatnya daripada sifat asal dari segi rasa, warna dan bau atau tidak berubah. Maka demikian, ia adalah najis.

2. Menurut Imam Nawawi, “Sekiranya makanan yang terlekat di celahan gigi kemudian ditelan makanan tersebut dengan sengaja atau sesuatu yang turun daripada kepala kemudian ditelannya secara sengaja, maka batal solatnya tanpa ada khilaf fuqaha, Namun, sekiranya menelan sesuatu yang sukar dihalang seperti bercampurnya air liur dengan makanan, tanpa sengaja atau menelan kahak yang sukar untuk menghalangnya, maka tidaklah batal solatnya". Berbalik kepada soalan yang diajukan, batal solat sekiranya menelan semula makanan atau minuman yang terkeluar dari tekak sekiranya sendawa atau belahak, sekiranya tertelan tanpa sengaja ia tidak membatalkan solat.

3. Muntah adalah najis sebagaimana diketahui, justeru jika berkumur untuk membersihkan mulut dari muntah, sisa kumur tersebut juga akan terkontaminasi dengan zat yang dianggap najis. Oleh kerana itu, membuang sisa kumur ke dalam sinki akan membuatkan sinki tersebut menjadi najis. Justeru, hendaklah mencuci atau membersihkan sinki tersebut dengan air sehingga tidak menampakkan kesan najis pada sinki tersebut.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 49

message user image