BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

1.Bayar kafarah sumpah dengan wang kpd 5 orang fakir miskin dengan nilaian untuk 10 orang, Sah ke tidak jika penerima tu gunakan wang untuk membeli barang lain, bukannya makanan.

2. Orang bersumpah akan berpuasa setahun berturut- turut, jika dia membatalkan solat nya Adakah dia kena kafarah sumpah.

3. Boleh kah kita bayar kafarah sumpah ke Palestin, kerana payah cari yang layak menerimanya.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

1. Membayar kafarah sumpah dengan nilai adalah diharuskan berdasarkan fatwa keharusan membayar zakat Fitrah dengan wang ringgit. Pensyariatan kafarah sumpah adalah berdasarkan Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 89:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Yang bermaksud: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.

Berdasarkan ayat ini, orang yang membayar kafarah sumpah diberi pilihan sama ada membebaskan hamba, atau memberi makan kepada 10 orang fakir miskin, atau memberikan pakaian kepada meraka. Seandainya tidak berkemampuan, maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. Bagi yang memilih untuk memberi makan, maka dia hendaklah memberikan makanan asasi dengan secupak beras kepada 10 orang fakir miskin atau 10 cupak beras kepada seorang fakir miskin. Dia juga boleh membayar dengan nilai sama ada diberikan secara terus kepada penerima atau melalui pihak berkuasa. Tanggungjawab membayar kafarah telah selesai sekalipun penerima menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain.

2. Ucapan yang diungkapkan itu dianggap sebagai nazar, iaitu mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. Dalam situasi ini, ia dikuatkan dengan bersumpah kepada Allah SWT. 

Setiap perkara yang dinazarkan wajib ditunaikan mengikut apa yang dinazarkan. Allah SWT berfirman dalam surah al Hajj ayat 29 :

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ 

Maksudnya: Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya

Adalah menjadi kewajipan untuk menunaikan nazar tersebut iaitu berpuasa selama setahun berturut-turut sekiranya membatalkan solat. Sesuatu nazar tidak boleh dibatalkan. Perlu berusaha untuk menunaikan nazar tersebut sehingga diyakini tidak lagi mampu untuk melakukannya disebabkan sakit atau uzur yang tidak akan sembuh. Ketika itu kafarah diwajibkan sebagaimana ketetapan yang dinyatakan di atas.

3. Membayar kafarah kepada pihak luar seperti memberikannya kepada Palestin adalah tidak disarankan. Hal ini kerana badan NGO yang sumbangan wang itu mungkin menggunakannya untuk tujuan yang lain daripada makanan seperti untuk pembangunan, kos pengurusan, kesihatan dan lain-lain manfaat untuk rakyat Palestin. Oleh itu, tujuan-tujuan ini tidak termasuk dalam objektif membayar kafarah serta boleh menyebabkan kafarah tersebut tidak sah. Kami menasihatkan agar kafarah dibayar melalui pihak berkuasa yang menguruskan kafarah ini seperti Majlis Agama Islam Selangor. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 49

message user image