Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Apakah hukum isteri keluar atau mesej dengan lelaki lain. Sebab suami tidak bekerja? Si suami panas baran selalu pukul isteri. Nafkah isteri tidak bagi selama 4 bulan. Saya sudah beberapa kali menasihati suami mencari kerja. Tetapi tidak diendahkan. Anak saya masih kecil lagi dalam 2 bulan. Kawan lelaki saya selalu bagi duit perbelanjaan untuk saya dan anak saya. Jadi saya mahu jawapan apa hukum isteri keluar atau mesej dengan lelaki lain?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, hukum asalnya seorang isteri tidak boleh keluar rumah melainkan dengan keizinan suaminya, sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda: إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُم بِاللَّيْلِ إِلَى الْمَسْجِدِ فَأْذَنُوا لَهُنَّ Maksudnya : “Apabila isteri kalian meminta izin kepada kalian untuk berangkat ke masjid malam hari, maka izinkanlah” (Riwayat al-Bukhari) Imam an-Nawawi mengatakan, hadis ini dijadikan dalil bahawa, isteri tidak boleh keluar rumah kecuali dengan izin suaminya. Isteri juga wajib patuh dan taat kepada suaminya selagimana ketaatan itu bukan kepada perkara yang menyalahi hukum syarak. Jika isteri keluar rumah tanpa keizinan suaminya, sama ada suaminya berkerja atau tidak berkerja, lebih-lebih lagi dengan lelaki lain hukumnya adalah berdosa. Isteri patut berhati-hati kerana, tindakan isteri keluar rumah tanpa izin suami, boleh disabitkan sebagai nusyuz (derhaka). Bagi isteri yang derhaka, hilanglah kelayakannya untuk mendapat nafkah dari suami, sehinggalah isteri tersebut bertaubat. Dari segi nafkah, adalah menjadi kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri dan anaknya mengikut kadar kemampuan suami. Firman Allah SWT ; Maksudnya : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7) Jika suami masih berterusan tidak memberi nafkah, isteri boleh membuat permohonan tuntutan nafkah di Mahkamah Rendah Syariah yang berhampiran tempat tinggal. Isteri juga perlu menjaga maruah dan batas pergaulan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Tidak boleh keluar dengan lelaki lain atau berhubung dengan lelaki lain jika tiada keperluan seperti meluah masalah, mengadu perihal suami kepada lelaki lain dan sebagainya, walaupun lelaki itu kelihatan baik dan mengambil berat terhadapnya. Perkara ini menambahkan lagi kekusutan dalam rumahtangga dan hubungan diantara suami isteri. Masalah rumahtangga yang berlaku sebaiknya hendaklah dibincang bersama suami isteri dengan harmoni dan berhemah, luahkan dengan perkataan yang baik-baik dengan lemah-lembut dan berhati-hati, saling nasihat-menasihati dan tidak menyakiti hati pasangan. Boleh juga dapatkan bantuan dan sokongan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Jika masalah masih berlarutan, sebaiknya perkara ini diadukan terus ke Unit Undang-undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang berhampiran tempat tinggal untuk khidmat nasihat dan tindakan yang wajar dilakukan. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.